Friday, April 15, 2011

Seorang Muslimah Itu

Muslimah itu ibarat bunga, cantik indahnya pada pandangan mata hanya sementara. Yang kekal menjadi pujaan manusia, hanyalah muslimah yang mulia akhlaknya.

Seorang Muslimah itu

Yang lembut itu fitrah tercipta, halus kulit, manis tuturnya, lentur hati… tulus wajahnya, setulus rasa membisik di jiwa, di matanya cahaya, dalamnya ada air, sehangat cinta, sejernih suka, sedalam duka, ceritera hidupnya.

Seorang Muslimah itu

Hatinya penuh manja, penuh cinta, sayang semuanya, cinta untuk diberi… cinta untuk dirasa… Namun manjanya bukan untuk semua, bukan lemah, atau kelemahan dunia … Dia boleh kuat, boleh menjadi tabah, boleh ampuh menyokong pahlawan-pahlawan dunia… begitu unik tercipta, lembutnya bukan lemah, tabahnya tak perlu pada jasad yang gagah

Seorang Muslimah itu

Teman yang setia, buat Adam dialah Hawa, tetap di sini… dari indahnya jannah, hatta ke medan dunia, hingga kembali mengecap nikmatNya

Seorang Muslimah itu

Boleh seteguh Khadijah, yang suci hatinya, tabah & tenang sikapnya, teman Rasul, pengubat duka & laranya… bijaksana, menyimpan i­lmu, si teman bicara, dialah Ãishah, penyeri taman Rasulullah, dialah Hafsah, penyimpan mashaf pertama kalamullah

Seorang Muslimah itu

Boleh setabah Maryam, meski dicaci meski dikeji, itu hanya cercaan manusia, namun sucinya ALLah memuji… Seperti Fatimah kudusnya, meniti hidup seadanya, puteri Rasulullah… kesayangan ayahanda, suaminya si panglima agama, di belakangnya dialah pelita, cahaya penerang segenap rumahnya, ummi tersayang cucunda Baginda… dia segagah Nailah, dengan dua tangan tegar melindung khalifah, meski akhirnya bermandi darah, meski akhirnya khalifah rebah, syahid menyahut panggilan Allah.

Seorang Muslimah itu

Perlu ada yang membela, agar mereka terdidik jiwa, agar mereka terpelihara… dengan mengenali Rabbnya, dengan cinta Rasulnya… dengan yakin Deennya, dengan teguh aqidahnya, dengan utuh cinta yang terutama, Allah jua RasulNya, dalam ketaatan penuh setia . Pemelihara maruah dirinya, agama, keluarga & ummahnya

Seorang Muslimah itu

Melenturnya perlu kasih sayang, membentuknya perlu kebijaksanaan, kesabaran dan kemaafan, keyakinan & penghargaan, tanpa jemu & tanpa bosan, memimpin tangan, menunjuk jalan

Seorang Muslimah itu

Yang hidup di alaf ini, gadis akhir zaman, era hidup perlu berdikari… dirinya terancam dek fitnah, sucinya perlu tabah, cintanya tak boleh berubah, tak boleh terpadam dek helah, dek keliru fikir jiwanya, kerna dihambur ucapkata nista, hanya kerana dunia memperdaya… kerna seorang gadis itu, yang hidup di zaman ini… perlu teguh kakinya, mantap iman mengunci jiwanya, dari lemah & kalah, dalam pertarungan yang lama… dari rebah & salah, dalam perjalanan mengenali Tuhannya, dalam perjuangan menggapai cinta, nikmat hakiki seorang hamba, dari Tuhan yang menciptakan, dari Tuhan yang mengurniakan. Seorang gadis itu, anugerah istimewa kepada dunia!

Seorang Muslimah itu

Tinggallah di dunia, sebagai mujahidah, pejuang ummah… anak ummi & ayah, muslimah yang solehah… kelak jadi ibu, membentuk anak-anak ummah, rumahnya taman ilmu, taman budi & marifatullah

Seorang Muslimah itu

Moga akan pulang, dalam cinta & dalam sayang, redha dalam keredhaan, Tuhan yang menentukan… seorang gadis itu dalam kebahagiaan! Moga Al – Rahman melindungi, merahmati dan merestui, perjalanan seorang gadis itu… menuju cintaNYA yang ABADI.

Sumber: http://akuislam.com

Saturday, April 2, 2011

Naqib dan usrah

Bismillahirramnirrahim...

Sudah lama tidak menjenguk blog. Setelah sekian lama mencari ruang dan peluang, alhamdulillah, Allah telah memberi keizinan untuk menulis setelah sekian lama meninggalkannya. Barangkali jika diibaratkan blog ini seperti buku yang diletakkan diatas meja, tanpa ada sebarang gangguan manusia pun yang menyentuhnya, sudah pasti buku itu berhabuk, berdebu dan mungkin juga bersawang. Begitulah jugalah blog ini, tapi itulah hebatnya kuasa Allah, telah memberi ilham kepada manusia. Walaupun blog ini telah sekian lama tidak diupdate, sawangnya tidak kelihatan, tapi masih lagi dipanggil laman sesawang. Allahuakbar! Sekadar selingan semata =)

Diri ini terpanggil untuk berkongsi pengalaman.
"Tahniah, nti terpilih untuk menjadi naqibah kepada adik-adik yang berikut.... Lepas ni boleh contact adik-adik ini dan buat usrah bersama mereka". Melilau anak mata mencari nama anak-anak usrah yang baru dalam senarai nama yang diberikan. Alhamdulillah, syukur kepadaMu dikurniakan adik-adik ni. Rasa gembira bercampur takut timbul dihati. Gembira dihati bak kata orang, dalam hati ada taman... Perasaan ini timbul mungkin kerana setelah sekian lama memerhatikan adik-adik ini bergerak kerja dalam persatuan dengan segala komitmen dan semangat dicurahkan, akhirnya mereka menjadi anak-anak usrah. Jika dulu, hanya memerhatikan mereka dari jauh, sekarang boleh duduk semakin rapat. Jika dahulu sekadar tegur ditepi jalan, tapi sekarang bersembang dalam halaqah usrah. Allahuakbar, cantiknya aturanMu ya Allah. Memang Engkau maha mengetahui segala isi hati hambaMU dan telah pun Engkau makbulkan permintaan ini. Dalam masa yang sama, perasaan takut juga datang bertandang, walaupun tidak dijemput. Takut tidak mampu mengadakan usrah kerana taklifan lain yang digalas terlalu berat dan masa yang mencemburui untuk bertemu adik-adik, takut apa yang sepatutnya adik-adik ini dapat daripada seorang naqibah tidak kesampaian lantaran dosa-dosa yang pernah dilakukan, takut, takut dan takut. Jika difikirkan perasaan takut itu, sampai bila pun usrah itu tidak akan kemana. Lantaran perasaan takut inilah, diri ini menggagahkan diri untuk terus menanggung taklifan ini. Takut pada hari, bila mana anak Adam itu dihisab, "Apakah kamu telah melunaskan tanggungjawab kamu kepada anak-anak usrah kamu?". Ya Allah, moga dengan usaha kecil untuk mendidik adik-adik dibawah jagaanku ini, mampu untuk menjawab pertanyaanMu di akhirat kelak. Ameen! Ya, kerana takut kepadaMu aku terus berusaha untuk melaksanakan tanggungjawab ini sebaik mungkin. Mereka inilah butir-butir mutiara yang berada didasar laut. Harus digilap, dijaga, dan dibentuk sebaik mungkin untuk menjadi kader-kader dakwah bagi meneruskan perjuangan Rasulullah di bumi hijau UPM ini.

Mendidik manusia, bukan semudah memetik 2 jari.Ting! Maka lahirlah seorang kader dakwah. Tidak , tidak semudah itu... Proses ini memakan masa yang lama dan panjang. Barang kali sehingga hujung nyawa didikan ini harus diteruskan. Inilah yang dipanggil tarbiyyah. Salah satu elemen penting dalam menjayakan proses pentarbiyah ini ialah murabbi @ naqib/ah.

Murabbi atau naqib/ah adalah mereka yang boleh menjadi rujukan kepada orang yang berada di bawahnya. Murabbi inilah ibaratnya seperti 'peti aduan bergerak', menjadi tempat luahan masalah, mendapatkan nasihat, menyebarkan ilmu dan maklumat serta menjadi medium untuk meminta pertolongan. Bukan mudah menjadi murabbi yang baik. Setiap inci kehidupan mesti dijaga. Kerana apa? Kerana setiap apa yang mengalir dalam jiwa murabbi, itulah juga yang akan mengalir dalam jiwa mad`u. Analoginya mudah, lihat saja ibu ketam yang berjalan senget, mampukah dia mengajar anak-anaknya berjalan lurus sedangkan dirinya tidak mampu berjalan lurus. Begitu juga manusia, bila mana anak remaja sekarang ini bermasalah, kemungkinan besar berlakunya kejadian sedemikian adalah berpunca daripada batang tubuh ibu bapa yang bermasalah dan perkara ini ikutan kepada anak-anak. Maka, dengan ini akan runtuhlah institusi kekeluargaan yang harmoni. Sebagai orang yang mahu mentarbiyyah manusia yang berada dibawahnya, siapkan diri sebaik mungkin dari sudut mental, fizikal dan spiritual, perbaiki diri dari semasa ke semasa dan bersiap sedia menghadapi sebarang mehnah. Sesungunhnya, setiap ujian Allah yang menimpa anak Adam, adalah mengikut kemampuan individu tersebut. "Jika masalah datang, ucaplah, oh masalah, aku ada Allah, bukan Ya Allah, aku ada masalah". Setiap ujian itu adalah tanda kasih dan sayang Allah serta untuk meningkatkan lagi mertabat hambaNya.

*kepada adik-adik yang disayangi, moga kalian menjadi kader dakwah sebijak Aisya Humaira, setangkas Khaulah Al-Azwar, seteguh Sumayyah Khayyat, dan seberani Nailah Al-Farafisyah. 
(Zulaikha, Iman, Syaza, Fitrah dan Iza)