Tuesday, July 13, 2010

Selangkah ke Gerbang Jihad

Bismillahhirahmanirahim...

Alhamdulillah, dengan izin Allah, masih lagi diberi ruang dan peluang untuk melangkahkan kaki ke semester 3 pengajian. Memandangkan kaki ini telah melangkah setapak lagi ke gerbang jihad ilmu yang baru, maka dengan itu, mehnah dalam mendepaninya juga bertukar wajah. Jika dulu,sewaktu di semester 1 dan 2, ana masih boleh berasa ‘senang hati’ dalam mempelajari ilmu, tetapi perasaan itu sukar digamit kembali memandangkan subjek pada semester ini semakin sukar. Antara subjek yang diambil:

• Hidrologi Alam Sekitar
• Masyarakat, Etika dan Alam Sekitar
• Pengajian Sains Atmosfera
• Forensik Alam Sekitar
• Calculus
• Bahasa Inggeris
• Kokurikulum

Tetapi melihat kepada pensyarah yang berperanan sebagai tenaga pengajar, tidak putus-putus memberi tunjuk ajar, motivasi dan inspirasi kepada anak didik mereka, menyebabkan diri ini semakin bersemangat menghadapi jihad ilmu ini. Teringat akan kata-kata Doktar Wan, seorang pensyarah yang amat gemar mengaitkan setiap apa yang diajar kepada kami dengan kebenaran bait-bait kata dari Kalamullah, “Belajar kalau tak da cabaran, tak mencabar namanya. Kalau asyik nak senang, tak da kemanisan dalam menuntut ilmu”.

Melihat pula kepada kesungguhan pensyarah yang mengajar subjek Calculus, dengan keadaan beliau yang menghadapi sakit menggeletar yang terlampau atau lebih dikenali sebagai penyakit Parkinson, hati ini acapkali menjadi sebak setiap kali melangkahkan kaki untuk masuk ke dewan kuliah. Kerana apa? Kerana kesungguhan beliau mengajar anak didik walaupun dalam keadaan beliau yang uzur, tetapi masih mempunyai semangat yang tinggi untuk mencorak anak bangsa. Tetapi amat malang sekali, bila mana kita yang mempunyai gelaran sebagai MAHAsiswa ini, yang diberi kesempatan untuk menikmati nikmat sihat ditambah lagi dengan kesenangan hidup, tetapi tidak menggunakan semaksimum mungkin nikmat ini secara berhemat dan bijaksana dalam mengejar ilmu bagi menggapai keredhaan Allah.

Berbicara tentang keredhaan Allah, ingin ana tegaskan di sini sebagai peringatan diri yang dhaif lagi hina ini juga para sahabat yang dikasihi, bahawa dalam setiap tindak tanduk, perbuatan dan pekerjaan yang kita lakukan sehari-harian, seharusnya diiringi dengan pengharapan untuk mencari sedikit belas kasihan daripada Allah. Begitu juga dalam kita berjihad menuntut ilmu, sewajarnya kita meletakkan ‘hadaf’ utama adalah untuk mencari keredhaan Allah (mardhotillah), kerana Islam, untuk mengembalikan kegemilangan Islam itu sendiri. Siapa lagi yang akan mengembalikan zaman kegemilangan Islam kalau bukan kita sebagai umatnya sendiri? InsyaAllah, ana yakin dan percaya dengan kesungguhan yang total serta niat yang ikhlas, Allah akan mempermudahkan tiap langkah kita dalam menghadapi cabaran serta memberi kekuatan dalam mendepani permasalahan yang timbul. Jiwa-jiwa yang mempersiapkan diri semata-mata untuk menggapai keredhaan Allah, pasti akan terasa rahmat Allah dalam setiap detik kehidupan.

Begitu juga bagi mereka yang telah menginfakkan diri dalam gerak kerja Islam. Janganlah kalian berasa ragu-ragu dalam melaksanakan amanah ini. Firman Allah dalam surah Muhammad, ayat 7:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu”.

Teruskan usaha murni ini wahai sahabat! Tetapi sebagai muslim yang ber’tittle’kan, mahasiswa dan da`ie, keseimbangakan dalam bidang akademik dan lapangan dakwah perlu dititikberatkan, supaya perkara ini tidak mendatangkan kembali fitnah kepada Islam. Biarkan kedua-dua elemen ini bergerak seiring dan sejalan. Jika diperhalusi secara mendalam, elemen akademik ini juga boleh menjadi salah satu elemen penting dalam menjana wasilah untuk kita menarik mad`u. Perguna kesempatan ini bagi membuka lebih luas ruang lingkup dakwah.

Selamat menempuhi perjuangan!

~Benarlah usaha itu tangga kejayaan. Tetapi jika tiada kesungguhan dan niat bukan kerana Allah, samalah seperti kita menggunakan tangga untuk turun ke bawah~