Sunday, January 23, 2011
Mentari Hidup
Kala senja itu tiba
Kutermenung sendirian
Terasa diriku ini jauh dari rahmat Tuhan
Dosa yang aku lakukan
Menerjah ruang fikiran
Masihkah ada untukku keampunan
Gelap rasa dunia ini
Tanpa cahaya Ilahi
Baru kini kusedari
Jalan yang aku lalui
Memusnah pedoman hidup
Melempar hatiku ini ke lembah kehinaan
Dalam kegelapan itu
Terbit cahaya dari-Mu
Memandu hamba-Mu menuju iman
Menginsafi diri dengan ketaqwaan dan kesabaran
Kau terangi jalanku menuju syurga-Mu
Dan Kau tunjuki dengan hidayah-Mu
Hanyalah pada-Mu kuhadapkan diri
Mohon keampunan
Wahai Yang Maha Pengasih
Bantulah hamba-Mu ini
Yang kian terumbang-ambing
Di dalam arus duniawi
Kuberdoa kepada-Mu
Memohon limpah rahmat-Mu
Mentari hidupku kan bersinar kembali
Sunday, January 16, 2011
Top Up 15 Tambah Nilai
Top Up 15 NiLai TamBaH SyakHsiyyAh AmiLiN MutTaqiN
1. Tidak takut celaan orang yang mencela ( bersedia menerima kritikan )
2. Tidak gentar menghadapi risiko . ( tahu bagaimana mengurus risiko . )
4. Semangat mahukan perubahan . ( tidak statik atau kaku )
5. Tidak memusuhi idea - idea baru atau pendekatan - pendekatan baru.
6. Tidak membezakan tugas atau terlalu memilih kerja - kerja jamaah .
7. Tidak emosional sebaliknya bertindak rasional .
8. Tegas dan tidak mudah merajuk.
9. Memberi dan menerima .
10. Menunaikan hak orang lain dan tanggungjawab diri sendiri .
11. Bersikap tolerensi terhadap pandangan orang lain dengan tidak menyangka hanya pendapatnya sahaja yang betul .
12. Mengutamakan syura daripada pendapat sendiri .
13. Optimis dengan kemenangan Islam .
14. Memiliki fizikal yang baik , minda yang cerdas ,prinsip yang berwibawa dan disiplin yang baik .
15. Pengaruh dan penerimaan masyarakat terhadap peribadi dan perjuangannya .
*Mari sama-sama kita cuba aplikasikan 15 nilai diatas. Semoga kita tergolong dalam amilin muttaqin, insyaAllah... ameen...
Friday, January 7, 2011
Koleksi
Bismillahirrahmanirrahim...
Alhamdulillah, sudah masuk 1 minggu berada di tahun baru, 2011. Beerti, sudah seminggu juga kuliah telah bermula. Semestinya dalam semester baru ini juga, azam yang dipasak dalam jiwa setiap individu pastinya inginkan sesuatu yang lebih baik dari sebelumnya. Apa juga azam yang diimpikan, pastikan niatnya kerana Allah semata. Moga segala usaha yang dirancang untuk mencapai azam tersebut menjadi ibadah buat bekalan di alam seterusnya.
Sedikit perkongsian buat tatapan para sahabat, sebagai motivasi dan inspirasi kepada diri. Ingin ana sertakan bait-bait kata dan madah buat kalian. Jika ada dikalangan sahabat ingin 'copy', amat dialu-alukan.
1. Dalam dirimu, ada Allah, sahabatmu. Dalam kesedihanmu, ada Allah, penghiburmu. Dalam tangismu, ada Allah, penenangmu. Dalam kehidupanmu, ada Allah, Rabbmu.
2. Beri hatimu hanya untuk Allah, pasti Allah temukan pada pemilik terbaik. Hamparkan masamu seluas hanya untuk Allah, pasti Allah aturkan kehidupanmu dengan baik.
3. Bila kau bergelar daie kau wajib sedar, bahawa jiwamu tidak boleh selamanya remaja. Kata Hassan Al-Banna, tanggungjawab melebihi masa yang ada, dan tarbiyyah yang bersalut ilmu dan cabaranlah yang dapat mendewasakanmu, tapi cukupkah jika sekadar menerima tarbiyyah? Sampaikanlah pada yang lain... Bangunlah wahai SYABAB, sedarlah wahai FATAYAT, kalian bukan memulakan perjuangan, tetapi kalian adalah mata-mata yang menyambung rantai perjuangan.
4. "Saya tidak meletakkan harapan kepada sesiapa melainkan kepada Allah, hati saya bulat kepada Allah"-Zainab Al-Ghazali
5. Sahabat, aku bangga melihatmu derita dalam perjuangan dari melihatmu gembira dalam kelalaian. Aku bangga mendengar tangisanmu kerana pengorbanan dari mendengar tawamu dalam penghianatan. Aku bangga dikau mati di medan kebenaran dari hidup dalam kesesatan, kerana jangan lupa sahabat, muliamu bukan pada pangkat dan harta tetapi kerana Islam!
6. Dalam perjalanan panjang ini, moga Allah kuatkan kita menempuhi tiap ujian yang mendatang. Moga tidak cepat mengeluh dengan tiap yang berlaku. Hakikat manusia bahagia apabila senang, tidak suka akan kesusahan, bangga dengan tiap kejayaan dan malu dengan tiap kelemahan. Namun, kita sering lupa akan setiap episod hanyalah dengan izinNya. Kita sering mengeluh tanpa mengaitkan kejadian dengan DIA. DIAlah sebaik perancang.7. Persahabatan itu dihati, walau bersendirian pasti ia menemani. Setiap yang manis mampu dikenang, walau tiada di mata kini, ia hadir bila dirindui, kerana asanya ia kekal di dasar hati.
8. Tak perlu ragu-ragu! Kata cita-cita kepadamu, "impian mengecap kejayaan dalam bidang kamu bukanlah suatu yang mustahil". Cita-cita berkata lagi, "janganlah sesekali kau mengalah, kau mampu merealisasikannya, kau punyai keazaman yang bersulam ketaqwaan, kau punyai tekad yang membara untuk Islam, maka majulah kehadapan menuju kejayaan dunia dan akhirat wahai hati-hati yang mendambakan keredhaan Allah.
9. Saat Allah mencintai seseorang, tempat pertama menerima sentuhan cinta itu ialah hati mereka. Disitulah Allah melenyapkan segala rasa putus asa dan kesedihan akibat dosa mereka, kemudian diganti dengan harapan dengan keinginan untuk berubah menjadi insan bersih.
10. Kita ada satu sahaja hati, jika gembira, hati itulah, jika bertaqwa, hati itulah, jika beriman, hati yang satu itu juga, jika bercinta itu juga, jika terluka, hati yang satu itu. Terlalu banyak SATU untuk banyak perkara. Maka jagalah hatimu dan pandulah hati menuju cahaya iman, tawadu' dan bersih dari noda hitam.
11. Apabila kamu teringat akan seseorang, banyakkanlah olehmu istighfar. Apabila kamu lupa tentang apa yang kamu pelajari, banyakkanlah selawat. Apabila kamu mahukan wajah berseri dan sejuk mata memandang banyakkanlah solat dhuha. Apabila kamu mahukan perlindungan dan kekuatan hati, banyakkanlah tahajud. Dan apabila kamu mahu malaikat mendampingimu dan mengelak dari pandangan nafsu dan syaitan, hendaklah kamu sentiasa dalam keadaan berwudu'.
12. Ya Allah, aku bersyukur kerana Engkau kurniakan seorang yang bernama SAHABAT. Ya Allah, aku tidak mampu untuk berdiri teguh dijalanmu tanpa seorang yang bergelar SAHABAT. Ya Allah, aku memohon dan ingin mengadu padaMu, kekalkanlah ukhwah diantara kami hingga ke syurgaMu
13. Allah menguji keikhlasan bila bersendirian, Allah memberi kedewasaan bila hadapi masalah, Allah melatih kesabaran dalam kesakitan, Allah tidak pernah ambil sesuatu yang kita sayang kecuali menggantikan dengan yang lebih baik.
14. Bila mana diri diwakafkan untuk perjuangan Islam, jangan sesekali berniat meloloskan diri. Sekali melangkah kehadapan maka teruskan langkah itu. Jangan pernah terlintas untuk melepaskan ikatan rabitah perjuangan. Walau ribuan tribulasi melanda yakinlah dengan apa yang kita lakukan nescaya kemenangan parti tiba. Derita kita adalah derita umat terdahulu. Penat kita hari ini untuk generasi akan datang. Perjuangan harus diteruskan.
15. Andai perjuangan itu mudah, pasti ramai menyertainya. Andai perjuangan itu singkat, pasti ramai yang istiqamah. Andai perjuangan ini menjanjikan kesenangan dunia, pasti ramai tertarik padanya. Tapi hakikat perjuangan bukan begitu, turun naiknya, sakit pedihnya. Andai rebah, bangkitlah semula. Andai terluka, ingatlah ganjaran kebahagiaan dunia dan akhirat seiring dengan kemanisan iman.
*bait-bait madah ini adalah hasil koleksi pemberian sahabat-sahabat seperjuangan.
Saturday, November 20, 2010
Kepentingan Tarbiyyah Ruhiyyah dalam Perjuangan Islam
Bismillahirrahmanirrahim
Alhamdulillah, masih lagi Allah meminjam qudrat dan memberi kesempatan untuk menulis entry kali ini. Syukur ya Rabb, masuk hari ini, sudah 5 papers exam usai dijawab, tinggal 1 papers lagi untuk dihabiskan. Moga Allah permudahkan segala urusan.
Sementara mengisi masa terluang ini, suka ana kongsikan sedikit pengisian hasil diskusi bersama sahabat-sahabat seperjuangan di dalam usrah baru-baru ini. Moga pengisian ini serba sedikit boleh menjadi panduan dan pedoman buat mereka menggelarkan diri jundullah di jalanNya.
Firman Allah s.w.t.
“Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat, beribadah, memuji (Allah), mengembara (demi ilmu dan agama), rukuk, sujud, menyuruh berbuat makruf dan mencegah dari yang mungkar dan yang memelihara hukum-hukum Allah. Dan bergembiralah orang-orang yang beriman”
(Surah At-Taubah:112)
(Surah At-Taubah:112)
Maksud tarbiyyah itu sendiri ialah suatu nizom yang mampu bertindak balas bersama fitrah insan, yang dikemukakan secara lansung (perkataan) atau tidak langsung (qudwah) yang bertujuan mengubah manusia kearah yang lebih baik, menepati manhaj dan wasilah-wasilah yang tertentu. Dalam terbiyyah terselit beberapa cabang antaranya, tarbiyyah jasadiyyah, fikriyyah dan juga tarbiyah ruhiyyah. Yang menjadi tunjang utama dalam kita mempersiapkan diri sebagai da`ie adalah dengan menjaga tarbiyyah ruhiyyah tanpa mengabaikan yang lain. Mengapa ana berfikiran sedemikian, adalah kerana tanpa pemeliharaan tarbiyyah ruhiyyah iaitu dari segi pembentukan pengisian dalaman, yakinlah bahawa gerak kerja yang dilakukan adalah bersifat dasar, atau berlandaskan semangat semata-mata. Ibaratnya, seperti tin kosong, boleh menghasilkan bunyi yang kuat, tapi tidak berisi. Kita bergerak kerja dengan penuh sungguh-sungguh menggunakan jasad tetapi, ruh kita kosong, tidak diberi ‘makan’ yang setimpal dengan jasad yang bergerak. Secara tidak langsung, perkara ini boleh menjadi barah dalam bergerak kerja.
Dengan menjaga tarbiyyah ruhiyyah, kita dapat mempersiapkan diri dalam memikul tugas dalam menyampaikan dakwah serta menjadi benteng kepada diri dalam menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang. Oleh yang demikian, terdapat beberapa ciri-ciri keimanan yang perlu dijaga dengan rapi, supaya tarbiyyah ruhiyyah dapat dipelihara.
1. Al-Ta’ibun (orang-orang yang sentiasa bertaubat)
- Para da`ie seharusnya lebih berhati-hati terhadap maksiat yang berada disekelilingnya. Dosa-dosa yang dilakukan oleh diri mereka lebih wajar ditakuti daripada musuh mereka sendiri. Sekiranya berlaku yang tergolong dalam amal maksiat, mereka hendaklah bersegera memohon ampun dan bertaubat kepada Allah sebagaimana firman Allah:
Dan berlumba-lumbalah kamu kepada keampunan dari Tuhan kalian dan berlumba-lumbalah mencari syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa
(Ali-Imran:133)
(Ali-Imran:133)
2. Al-`Abidun (orang-rang yang beribadat)
- Manusia-manusia abid ialah mereka yang beribadat kepada Allah dalam setiap gerak geri dan tindak tanduk, begitu juga perkataan dan perbuatan mereka supaya dengan itu mereka dapat memenuhi tujuan utama hidupnya sebagaimana firman Allah:
Dan Aku tidak jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu.
(Al-Zariyat:56)
(Al-Zariyat:56)
Apabila Allah menjadi matlamt kita, sasaran ibadat kita, arah dan matlamat hidup kita, maka kita akan berpegang teguh dengan segala perintahNya dalam segenap urusan hidup. Firman Allah swt:
Katakanlah: sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan semesta alam
(Al-An`am:162)
(Al-An`am:162)
3. Al-Hamidun (orang-orang bersyukur)
- Al-Hamidun ialah golongan manusia yang hatinya sangat peka terhadap nikmat Allah kepada mereka. Lidah-lidah mereka menyatakan kesyukuran dan puji terhadapNya sedangkan anggota tubuh badan pula mengajukan pengorbanan bagi mencari keredhaan Allah. Para da`ie seharusnya memuji dan mensyukuri Allah dalam masa senang dan susah, kesempitan dan kemewahan sehingga mereka tergolong dalam manusia yang dinyatakan oleh Baginda saw:
Amat menabjubkan keadaan hidup orang mukmin dimana seluruh urusannya membuat kebaikan bagi dirinya. Sekiranya mendapat kegembiraan ia bersyukur, maka ia dapat kebajikan dengannya. Sekiranya ia ditimpa kesusahan dari ujian ia bersabar, maka ia dapat kebaikan darinya. Keadaan ini tidak ada dalam kehidupan manusia kecuali bagi orang mukmin sahaja.
4. Al-Sa`ihun (pengembara dijalan Allah)
- Pengembara disini ialah pengembaraan penglibatan, pemikiran, hati dan perasan dengan melihat makhluk ciptaan Allah dilangit dan dibumi. Pengembaraan para da`ie adalah pengembaraan menjelajah diri dan segala sesuatu yang disekelilingnya. Alangkah perlunya para da`ie kepada pengembaraan meneroka alam semesta yang luas sebagai pencetus ketaatan kepada Allah, meneliti sirah-sirah para salihin dan tokoh-tokoh besar yang menjadi pembakar semangat dan teladan dalam meneruskan perjuangan serta pertarungan antara haq dan batil dimana kehancuran yang yang dihadapi para taghut dalam berhadapan dengan benteng Islam. Pasti insaf bahawa negara yang diasaskan atas kebatilan usianya tidak panjang sedangkan kuasa yang dibina atas dasar kebenaran kekal hingga akhirat. Semua ini, boleh menjadi `ibrah kepada kita dalam mentaati Allah swt.
5. Al-Raki`un dan Al-Sajidun (orang-orang yang rukuk dan sujud)
- Golongan ini adalah mereka yang mengambil berat soal ibadah dalam memperbaiki dan mengukuhkan hubungan dengan Allah. Para da`ie perlu mempunyai hubungan denganAllah sesuai dengan tanggungjawab yang dipikul dan cabaran-cabran yang merintangi perjalanan. Kemenangan golongan Al-Salaf Al-Salih serta kembangnya dakwah yang dibawa oleh mereka adalah hasil kekuatan hubungan mereka dengan Allah dan hasil teguhnya pegangan mereka terhadap agama Allah. Allah menjelaskan amalan mereka dalam firmannya:
Mereka sedikit sekali tidur diwaktu malam dan diakhir-akhir malam mereka memohon ampun kepada Allah
(al-Zariyyat:17-18)
(al-Zariyyat:17-18)
6. Al-Amiru Bil-Ma’ruf Wa Nahuna Anil-Munkar (orang yang menyeru kepada makruf dam mencegah kepada kemungkaran)
- Seseorang Muslim tidak akan menjadi Muslim yang sebenarnya selama ia tidak melaksanakan tugas ini dalam lingkungan dirinya, keluarganya dan masyarakat. Rasulullah saw telah menyebut dalam satu hadis bahawa diantara salah satu sebab yang besar binasa dan runtuhnya sesuatu umat ialah apabila tanggungjawab amar ma’ruf dan nahi mungkar tidak dilaksanakan. Para da`ie juga harus sedar bahawa di antara syarat penting menjalankan tugasan ini ialah perlunya mereka menjadi qudwah tentang dakwah yang diseru kepada orang ramai. Sekiranya amalnya berbeza dari kata-katanya, maka sia-sialah amalan dan hilanglah ganjaran untuknya. Firman Allah swt:
Amat besar kebencian Allah apabila kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan
(Al-Saf:3)
(Al-Saf:3)
7. Wal Hafizuna Lihududillah (orang yang memelihara hukum-hukum Allah)
- Golongan terakhir ini adalah mereka yang berjuang untuk melaksanakan perintah-perintah Allah terhadap diri dan masyarakat. Sekiranya perintah-perintah Allah tidak mungkin dilaksanakan dalam bentuk yang sempurna tanpa kekuasaan dan pemerintahan Islam maka usaha dan perjuangan menegakkan hukum-hukum Allah menjadi satu perkara yang wajib.
Dengan izin Allah, moga dengan pengisian ini, dalam meng`update’ dan meng`upgrade’ diri kita sebagai pejuang Allah dijalanNya. Wallahu`alam...
*Buku rujukan: Bahtera Penyelamat (Fathi Yakan)
Thursday, November 11, 2010
Andai Aku di SisiMu
"Ya Allah, hamba kerdil ini, mengharapkan secebis belas kasihan dariMu. Mengharapkan keampunan dan rahmatMu melimpahi hidup ini. Tapi ya Allah, insan dhaif ini seringkali melakukan kesalahan, seringkali melakukan kesilapan, tetapi tidak pernah sesaat pun Engkau melupakan hambaMu yang hina ini. Ampunkan dosa-dosaku dan jadikan aku hamba yang sentiasa mengingatiMu dalam setiap detik kehidupan. Ameen ya Rabbal`alamin"
Tuesday, November 9, 2010
My Love
Mencintai dirimu,
Mengundang rasa kasih yang suci,
Mengundang rasa sayang yang murni,
Bagai mengalirnya arus sungai cinta,
Yang bertapak dalam jiwa kecilku ini.
Mengasihi dirimu,
Meluaskan kecilnya ruang hatiku
Menyegarkan lesunya jiwaku
Menguatkan diriku yang terkadang lemah
Menyuburkan hidupku yang terkadang layu.
Indahnya kasih itu
Apabila ia menjadi pencetus semangat
Dan penyuntik ilham
Serta penerang obor cahaya
Kepada berlikunya jalanku ini…
~khas untuk mak, walaupun mak tak sempat baca blog ni. Selamat hari lahir mak(10/11/2010). Seinfiniti terima kasih menjaga dan mendidik anak-anakmu ini. Tak terbalas segala pengorbanan membesarkan kak yong, kak diah, abang dan qila. Kasih dan sayangmu membawa ke syurga.
SAYANG MAK!~
Janji Allah!
"Wahai orang-orang yang beriman!Jika kamu menolong agama Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan mengukuhkan kedudukanmu."
(Muhammad:7)
Ya Allah, kami mohon padaMu, berkatilah segala ilmu yang kami pelajari selama ini. Kuatkanlah daya ingatan kami ya Allah. Jangan Engkau tarik segala ilmu yang kami pelajari disaat kami amat memerlukannya. Tolonglah kami ya Allah. Tuhan yang Maha Penyayang lagi Maha Pengasih. Berikanlah kejayaan kepada kami dalam peperiksaan akhir ini. Hanya padaMu kami meminta pertolongan. Bantulah kami menunaikan impian kedua orang tua kami. Ameen Ya Rabbal`alamin.
Subscribe to:
Posts (Atom)

