Tuesday, February 9, 2010

Perjuangan ini...?

Bismillahiramnirahim...
         Seorang sahabat sewaktu ana masih menuntut di matrikulasi pernah melontar sepotong ayat “kita bukanlah yang terbaik, tetapi kita adalah orang-orang yang terpilih.” Terpilih? Kenapa? Persoalan yang dilontarkan kembali. Alhamdulillah kita dipilih oleh Allah swt untuk menjadi salah seorang ansorullah yang berintima’ dengan gerakan Islam seterusnya menjadi mata-mata rantai perjuangan Rasulullah saw . Masih ramai sahabat-sahabat di luar sana masih mencari-cari identiti hidup mereka, dimanakah hala tuju hidup mereka di kemudian hari.
         Sayyid Qutb dalam surat terakhir beliau kepada adiknya telah menulis sebelum beliau digantung, “Kita selalu akan merasa sempit dada jika kita merasakan kitalah yang memulakan dan mengakhiri perjuangan ini, tetapi kesempitan ini tidak akan terasa jika kita merasai bahawa kita menyambung perjuangan yang lalu dan akan diteruskan oleh generasi yang akan datang. Adikku usahlah engkau gerun dengan tali gantung yang akan menjerut leherku ini.” Begitulah kata-kata terakhir seorang mujahid yang mana telah menyerahkan segenap hidupnya untuk Islam.
         Bila mana kita telah meletakkan diri dalam gerakan Islam, kita tidak akan terlepas dalam melakukan gerak kerja untuk Islam. Di alam kampus ini, gerak kerja yang dilaksanakan menjdi salah satu medan pentarbiyah ahli-ahli kepada pembentukan individu muslim. Tetapi perlaksanaan yang rapi perlu dirancang supaya matlamat gerak kerja tersebut mencapai matlamatnya. Seorang sahabat pernah berkata “Kebatilan yang terancang akan mengalahkan kebenaran yang tidak dirancang.” Oleh yang demikian, strategi yang mantap perlu dirangka sebelum melaksanakan gerak kerja tersebut.
Dengan berbekalkan gerak kerja yang cukup mantap dan mempunyai strategi cukup hebat, semestinya menjanjikan satu keyakinan yang tinggi untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Malangnya, matlamat yang diimpikan itu hanya menjadi impian diawangan, tidak membumi. Dengan itu banyaklah reaksi dan respon yang diberikan oleh ahli apabila perkara sebegini berlaku. Tetapi sejauh mana kita mengambil respon itu sebagai ikhtibar kepada gerak kerja yang akan datang.
          Sedar atau tidak, antara punca yang mengundang kegagalan sesuatu gerak kerja itu berpunca dari ahli itu sendiri selain faktor-faktor luar. Seharusnya, ahli sedar bila kita ditaklifkan untuk melaksanakan gerak kerja Islam, ini bermakna kita telah berjanji membawa panji-panji Islam. Oleh itu, ini bukanlah perkara kecil atau main-main dalam menyempurnakan misi tersebut. Perlu kita fikirkan bersama (muhasabah), bagaimana kita bergerak kerja sepanjang tempoh tersebut. Adakah kita menjaga hubungan kita sesama manusia? Adakah kita menjaga hati sahabat-sahabat dalam bergerak kerja? Yang penting, adakah kita menjaga hubungan kita dengan Allah yang menentukan kejayaan kita bergerak kerja? Terkadang dalam kita sibuk bergerak kerja, perkara-perkara kecil kita lupakan, lama-kelamaan perkara kecil itulah yang menjadi barah yang melumpuhkan gerak kerja.
           Ahli seharunya sedar dan pasakkan dalam diri, kematangan bergerak kerja dari pelbagai segi perincian kerja yang dilakukan. Antara persediaan yang perlu diambil perhatian bagi meneruskan perjuangan yang besar ini ialah, persiapan fikrah – bertanya kembali kepada diri, berapa banyak buku Islam kita baca dan hadam? Berapa banyak hadith-hadith yang telah kita baca dan ikuti? Berapa banyak ayat-ayat Al-Quran yang kita tadabbur? Semua ini, sebagai persiapan dalam melaksanakan gerak kerja. Seterusnya persiapan jiwa, apakah kita telah menjalankan usaha untuk meningkat istiqamah dan iltizam kita dengan ibadah-ibadah dan ajaran Islam sesuai dengan hasrat perjuangan kita. Tanpa persiapan yang jiwa yang cukup agak sukar bagi kita menghadapi tentangan-tentangan semasa dalam gerak kerja. Terakirnya persiapan gerakan, penyusunan organisasi dalam semua peringkat agak gerak kerja lancar dan munazomah.
          Semoga kita tsabit dalam memperjuangkan agama Allah ini. Pesan al-syahid Sayyid Qutb lagi, “jika ikhlas terhadap Allah, maka Allah akan bersama kita masa hidup mahupun mati.”

No comments:

Post a Comment