Monday, June 14, 2010

Bulan Allah Berkunjung


Bismillahirahmanirahim...

Alhamdulillah, bulan Allah telah berkunjung tiba. Sebagaimana yang sabda Rasulullah SAW, "Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadan bulan umatku." Semestinya bulan Rejab ini mempunyai keistimewaannya tersendiri.

Rejab bermakna kebesaran atau kemuliaan dan ia membawa maksud bulan yang dibesarkan atau dimuliakan. Masyarakat Jahiliyah menamakan bulan ini dengan bulan Rejab kerana mereka memulia dan menghormati bulan ini dengan mengharamkan berperang di dalamnya. Dan Rasulullah SAW mengekalkan nama ini dan mengharamkan pertumpahan darah di bulan Rejab.

PERISTIWA-PERISTIWA PENTING

1. Hijrah pertama

Pihak musyrikin Mekah meningkatkan tekanan dan ancaman kepada Rasulullah SAW dan mereka yang beriman kepada Rasulullah SAW pada ketika itu. Ada di kalangan sahabat yang mengadu kepada Rasulullah SAW tentang derita yang mereka tanggung lalu Rasulullah SAW memerintahkan agar mereka berhijrah ke negeri Habsyah.

Tujuan hijrah ini adalah untuk menyelamatkan iman dan keselamatan diri di samping untuk mencari tapak baru untuk Islam bertapak dan menyusun langkah untuk agenda seterusnya. Diantara mereka yang berhijrah ke Habsyah ialah Saidina Uthman RA dan isterinya Roqiah anak Rasulullah SAW. Jumlah mereka adalah 14 orang termasuk 4 orang wanita. Habsyah dipilih adalah kerana rajanya dikenali dengan toleransi dan sikap terbukanya.

2. Isra' dan Mi'raj

Isra'dan Mi'raj ertinya Rasulullah SAW dijalankan dari Mekah ke Baitulmuqaddis di waktu malam dan diangkat ke langit bertemu Allah SWT dan untuk mengambil kewajipan solat 5 waktu dari Allah SWT.

Dalam menentukan tarikh berlakunya peristiwa ini, sebahagian ulama mengatakan pada 27 RabiulAkhir; sebahagian ulama mengatakan 29 Ramadhan; sebahagian ulama mengatakan pada 27 Rejab dan sebahagian ulama mengatakan pada tarikh-tarikh lain. Adapun yang terbanyak ialah golongan yang mengatakan pada tanggal 27 Rejab, sekalipun tidak dengan alasan yang kuat.

3. Perang Tabuk

Tabuk adalah mengambil nama sempena nama satu tempat di Utara Semenanjung Arab di mana Rasulullah SAW dan 30 ribu tentera Islam berkumpul. Tidak berlaku pertempuran kerana tentera Rom telah melarikan diri kerana takut dan gerun kepada kekuatan dan kecekalan tentera Islam yang sanggup menghadapi berbagai kesukaran.

4. Pembebasan Baitul Muqaddis

Baitul Muqaddis telah dibuka pada zaman Saidina Umar Al-Khattab RA di zaman pemerintahannya. Akibat kelalaian dan perpecahan uamat Islam di zaman pemerintahan Abasiyah, umat Kristian (tentera Salib) telah melakukan serangan demi serangan ke atas Baitul Muqaddis dan akhirnya dapat menawan kota suci Baitul Muqaddis setelah 500 tahun dikuasai oleh pemerintahan Islam. Tentera Salib telah menduduki Baitul Muqaddis hampir 60 tahun sebelum dibebaskan kembali oleh panglima Islam terkenal Salehuddin Al-Ayubi. Beliau telah berjaya menawan kembali Baitul Muqaddis dari tangan tentera Salib pada hari Jumaat, 27 Rejab 583H. Dan pada tahun 1967 bersamaan 1387H umat Yahudi pula menawan Baitul Muqaddis (Palestin) dan menamakan negara baru mereka dengan nama Israel.

5. Kelahiran Imam Shafie

Nama sebenar Imam Syafie ialah Muhammad bin Idris. Beliau lahir di Ghuzah, Palestin pada tahun 150H bersamaan 767 Masehi dalam bulan Rejab. Beliau adalah salah seorang dari empat imam mazhab yang besar dalam dunia Feqah.

KELEBIHAN

1.Di dalam bulan lain Allah membalas amalan umat-Nya 10 kali, tetapi di dalan bulan Rejab Allah akan membalas amalan umat-Nya 70 kali.

2.Sesiapa meminta ampun (beristighfar) pada pagi dan petang 70 atau 100 kali di dalam bulan Rejab, diharamkan tubuhnya daripada api neraka.

3.Rejab adalah bulan menabur benih, Sya’aban bulan menyiram tanaman manakala Ramadhan bulan menuai.

4.Amalan di dalam bulan Rejab menyucikan badan, Sya’aban menyucikan hati manakala Ramadhan menyucikan roh.

5.Rejab adalah bulan maghfirah (keampunan), Sya’aban bulan syafaat manakala Ramadhan bulan menggandakan kebajikan.

6.Rejab adalah bulan taubat, Sya’aban bulan muhibbah manakala Ramadhan bulan dilimpahi pahala amalan yang banyak.

7.Pahala amalan baik di dalam bulan Rejab diganda 70 pahala, Sya’aban diganda 700 pahala dan Ramadhan diganda 1,000 pahala.

Rebutlah peluang yang terbentang luas ini dengan berusaha menambahkan amal kebaikan sementara masih berkesempatan. Wujudkan rasa 'tamak' untuk beramal di dunia yang sementara ini sebagai bekalan menghadapi kehidupan di sana. Moga amalan kita diterima oleh Allah SWT. InsyaAllah

No comments:

Post a Comment