Sunday, May 16, 2010

Sudah selesaikah amanah disana?


Belum selesai peperiksaan akhir di kampus, satu taklifan besar telah menimpa bahu. Walaupun taklifan ini dianggap kecil di mata sesetengah pihak, tapi bagi aku ini masih ‘AMANAH’ besar dan amanah ini mesti dilaksanakan sebagai salah satu misi menyambung rantai perjuangan dakwah Rasulullah di bumi ‘taman ilmu’ itu.

Rasullulah s.a.w. bersabda :
“Setiap kamu adalah pemimpin, dan kamu bertanggungjawab ke atas pimpinan kamu” .

Ya, semestinya aku mesti melaksanakan amanah ini sebaik mungkin. Tetapi, terkadang terlintas di hati, aku berasa takut, bukan takut kerana manusia, tetapi takut akan dosa-dosa silam menyebabkan Allah menghalang kelancaran ‘misi’ ini.

Semasa misi ini baru melangkah untuk berlari, terdengar sayup-sayup suara sahabat-sahabat tentang kepayahan melakukan misi ini disebabkan beberapa kekangan. Terkenang akan kata-kata Sayyid Qutb dalam surat terakhir beliau kepada adiknya, beliau telah menulis sebelum beliau digantung, “Kita selalu akan merasa sempit dada jika kita merasakan kitalah yang memulakan dan mengakhiri perjuangan ini, tetapi kesempitan ini tidak akan terasa jika kita merasai bahawa kita menyambung perjuangan yang lalu dan akan diteruskan oleh generasi yang akan datang”. Ingat sahabat-sahabat, pastinya kita akan berasa sukar jika kita meletakkan kita adalah pemula perjuangan ini, sedangkan kita adalah mata-mata rantai yang menyambung perjuangan ini.

Di ‘taman ilmu’ itulah aku mula kenal erti dakwah yang sebenar bersama-sama sahabat yang lain. Jika dulu, aku dicari untuk menjadi sebahagian rantai-rantai perjuangan ini, tetapi kini, giliran aku dan sahabat-sahabat seperjuangan mencari bakal pewaris tugasan Rasulullah ini.

Allah s.w.t. berfirman :
“Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada makruf dan mencegah kemungkaran. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung” (Ali-Imran:104)

Jika disebut tentang mehnah dan tribulasi, sudah tentunya dalam setiap gerak kerja ini mempunyai kesulitannya tersendiri. Tetapi, bila kita meletakkan keimanan yang benar sebagai tunjang, menjadikan perjalanan gerak kerja umpama sebuah kisah cinta, pengorbanan menukarkan ujian pahit menjadi satu kenangan manis, kesabaran menjadikan segala beban yang ditanggung ringan dan mudah, keyakinan pada janji-janji Allah menjadikan jiwa tenang ketika perjalanan begitu sukar, kerinduan kepadaNya menjadi pembakar semangat setiap kali berdepan dengan kegagalan dan ujian berat. 

Firman Allah s.w.t. dalam Al-Quran Karim :
“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, Kami telah beriman sedangkan mereka tidak diuji” (Al-Ankabut:2)

Apabila segalanya hampir selesai pada waktu yang ditetapkan, ternyata segala keperitan yang dihadapi sepanjang minggu tersebut menjadi satu kenangan terindah, apabila adik-adik bakal pewaris rantai-rantai perjuangan ini berada di hadapan mata. Melihat wajah-wajah mereka, aku pasti merekalah yang akan meninggikan lagi ke`izahan Islam di ‘taman ilmu’ itu. Walaupun misi pencarian mereka telah berlalu, tetapi proses pembentukan para da`ie ini tidak terhenti setakat ini sahaja. Masih jauh perjalanan yang perlu ditempuhi, disamping proses pentarbiyahan yang panjang sebagai bekalan mematangkan diri untuk menjadi pewaris tugas Rasululluh.



No comments:

Post a Comment