Tuesday, July 13, 2010

Selangkah ke Gerbang Jihad

Bismillahhirahmanirahim...

Alhamdulillah, dengan izin Allah, masih lagi diberi ruang dan peluang untuk melangkahkan kaki ke semester 3 pengajian. Memandangkan kaki ini telah melangkah setapak lagi ke gerbang jihad ilmu yang baru, maka dengan itu, mehnah dalam mendepaninya juga bertukar wajah. Jika dulu,sewaktu di semester 1 dan 2, ana masih boleh berasa ‘senang hati’ dalam mempelajari ilmu, tetapi perasaan itu sukar digamit kembali memandangkan subjek pada semester ini semakin sukar. Antara subjek yang diambil:

• Hidrologi Alam Sekitar
• Masyarakat, Etika dan Alam Sekitar
• Pengajian Sains Atmosfera
• Forensik Alam Sekitar
• Calculus
• Bahasa Inggeris
• Kokurikulum

Tetapi melihat kepada pensyarah yang berperanan sebagai tenaga pengajar, tidak putus-putus memberi tunjuk ajar, motivasi dan inspirasi kepada anak didik mereka, menyebabkan diri ini semakin bersemangat menghadapi jihad ilmu ini. Teringat akan kata-kata Doktar Wan, seorang pensyarah yang amat gemar mengaitkan setiap apa yang diajar kepada kami dengan kebenaran bait-bait kata dari Kalamullah, “Belajar kalau tak da cabaran, tak mencabar namanya. Kalau asyik nak senang, tak da kemanisan dalam menuntut ilmu”.

Melihat pula kepada kesungguhan pensyarah yang mengajar subjek Calculus, dengan keadaan beliau yang menghadapi sakit menggeletar yang terlampau atau lebih dikenali sebagai penyakit Parkinson, hati ini acapkali menjadi sebak setiap kali melangkahkan kaki untuk masuk ke dewan kuliah. Kerana apa? Kerana kesungguhan beliau mengajar anak didik walaupun dalam keadaan beliau yang uzur, tetapi masih mempunyai semangat yang tinggi untuk mencorak anak bangsa. Tetapi amat malang sekali, bila mana kita yang mempunyai gelaran sebagai MAHAsiswa ini, yang diberi kesempatan untuk menikmati nikmat sihat ditambah lagi dengan kesenangan hidup, tetapi tidak menggunakan semaksimum mungkin nikmat ini secara berhemat dan bijaksana dalam mengejar ilmu bagi menggapai keredhaan Allah.

Berbicara tentang keredhaan Allah, ingin ana tegaskan di sini sebagai peringatan diri yang dhaif lagi hina ini juga para sahabat yang dikasihi, bahawa dalam setiap tindak tanduk, perbuatan dan pekerjaan yang kita lakukan sehari-harian, seharusnya diiringi dengan pengharapan untuk mencari sedikit belas kasihan daripada Allah. Begitu juga dalam kita berjihad menuntut ilmu, sewajarnya kita meletakkan ‘hadaf’ utama adalah untuk mencari keredhaan Allah (mardhotillah), kerana Islam, untuk mengembalikan kegemilangan Islam itu sendiri. Siapa lagi yang akan mengembalikan zaman kegemilangan Islam kalau bukan kita sebagai umatnya sendiri? InsyaAllah, ana yakin dan percaya dengan kesungguhan yang total serta niat yang ikhlas, Allah akan mempermudahkan tiap langkah kita dalam menghadapi cabaran serta memberi kekuatan dalam mendepani permasalahan yang timbul. Jiwa-jiwa yang mempersiapkan diri semata-mata untuk menggapai keredhaan Allah, pasti akan terasa rahmat Allah dalam setiap detik kehidupan.

Begitu juga bagi mereka yang telah menginfakkan diri dalam gerak kerja Islam. Janganlah kalian berasa ragu-ragu dalam melaksanakan amanah ini. Firman Allah dalam surah Muhammad, ayat 7:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu”.

Teruskan usaha murni ini wahai sahabat! Tetapi sebagai muslim yang ber’tittle’kan, mahasiswa dan da`ie, keseimbangakan dalam bidang akademik dan lapangan dakwah perlu dititikberatkan, supaya perkara ini tidak mendatangkan kembali fitnah kepada Islam. Biarkan kedua-dua elemen ini bergerak seiring dan sejalan. Jika diperhalusi secara mendalam, elemen akademik ini juga boleh menjadi salah satu elemen penting dalam menjana wasilah untuk kita menarik mad`u. Perguna kesempatan ini bagi membuka lebih luas ruang lingkup dakwah.

Selamat menempuhi perjuangan!

~Benarlah usaha itu tangga kejayaan. Tetapi jika tiada kesungguhan dan niat bukan kerana Allah, samalah seperti kita menggunakan tangga untuk turun ke bawah~

Monday, June 14, 2010

Bulan Allah Berkunjung


Bismillahirahmanirahim...

Alhamdulillah, bulan Allah telah berkunjung tiba. Sebagaimana yang sabda Rasulullah SAW, "Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadan bulan umatku." Semestinya bulan Rejab ini mempunyai keistimewaannya tersendiri.

Rejab bermakna kebesaran atau kemuliaan dan ia membawa maksud bulan yang dibesarkan atau dimuliakan. Masyarakat Jahiliyah menamakan bulan ini dengan bulan Rejab kerana mereka memulia dan menghormati bulan ini dengan mengharamkan berperang di dalamnya. Dan Rasulullah SAW mengekalkan nama ini dan mengharamkan pertumpahan darah di bulan Rejab.

PERISTIWA-PERISTIWA PENTING

1. Hijrah pertama

Pihak musyrikin Mekah meningkatkan tekanan dan ancaman kepada Rasulullah SAW dan mereka yang beriman kepada Rasulullah SAW pada ketika itu. Ada di kalangan sahabat yang mengadu kepada Rasulullah SAW tentang derita yang mereka tanggung lalu Rasulullah SAW memerintahkan agar mereka berhijrah ke negeri Habsyah.

Tujuan hijrah ini adalah untuk menyelamatkan iman dan keselamatan diri di samping untuk mencari tapak baru untuk Islam bertapak dan menyusun langkah untuk agenda seterusnya. Diantara mereka yang berhijrah ke Habsyah ialah Saidina Uthman RA dan isterinya Roqiah anak Rasulullah SAW. Jumlah mereka adalah 14 orang termasuk 4 orang wanita. Habsyah dipilih adalah kerana rajanya dikenali dengan toleransi dan sikap terbukanya.

2. Isra' dan Mi'raj

Isra'dan Mi'raj ertinya Rasulullah SAW dijalankan dari Mekah ke Baitulmuqaddis di waktu malam dan diangkat ke langit bertemu Allah SWT dan untuk mengambil kewajipan solat 5 waktu dari Allah SWT.

Dalam menentukan tarikh berlakunya peristiwa ini, sebahagian ulama mengatakan pada 27 RabiulAkhir; sebahagian ulama mengatakan 29 Ramadhan; sebahagian ulama mengatakan pada 27 Rejab dan sebahagian ulama mengatakan pada tarikh-tarikh lain. Adapun yang terbanyak ialah golongan yang mengatakan pada tanggal 27 Rejab, sekalipun tidak dengan alasan yang kuat.

3. Perang Tabuk

Tabuk adalah mengambil nama sempena nama satu tempat di Utara Semenanjung Arab di mana Rasulullah SAW dan 30 ribu tentera Islam berkumpul. Tidak berlaku pertempuran kerana tentera Rom telah melarikan diri kerana takut dan gerun kepada kekuatan dan kecekalan tentera Islam yang sanggup menghadapi berbagai kesukaran.

4. Pembebasan Baitul Muqaddis

Baitul Muqaddis telah dibuka pada zaman Saidina Umar Al-Khattab RA di zaman pemerintahannya. Akibat kelalaian dan perpecahan uamat Islam di zaman pemerintahan Abasiyah, umat Kristian (tentera Salib) telah melakukan serangan demi serangan ke atas Baitul Muqaddis dan akhirnya dapat menawan kota suci Baitul Muqaddis setelah 500 tahun dikuasai oleh pemerintahan Islam. Tentera Salib telah menduduki Baitul Muqaddis hampir 60 tahun sebelum dibebaskan kembali oleh panglima Islam terkenal Salehuddin Al-Ayubi. Beliau telah berjaya menawan kembali Baitul Muqaddis dari tangan tentera Salib pada hari Jumaat, 27 Rejab 583H. Dan pada tahun 1967 bersamaan 1387H umat Yahudi pula menawan Baitul Muqaddis (Palestin) dan menamakan negara baru mereka dengan nama Israel.

5. Kelahiran Imam Shafie

Nama sebenar Imam Syafie ialah Muhammad bin Idris. Beliau lahir di Ghuzah, Palestin pada tahun 150H bersamaan 767 Masehi dalam bulan Rejab. Beliau adalah salah seorang dari empat imam mazhab yang besar dalam dunia Feqah.

KELEBIHAN

1.Di dalam bulan lain Allah membalas amalan umat-Nya 10 kali, tetapi di dalan bulan Rejab Allah akan membalas amalan umat-Nya 70 kali.

2.Sesiapa meminta ampun (beristighfar) pada pagi dan petang 70 atau 100 kali di dalam bulan Rejab, diharamkan tubuhnya daripada api neraka.

3.Rejab adalah bulan menabur benih, Sya’aban bulan menyiram tanaman manakala Ramadhan bulan menuai.

4.Amalan di dalam bulan Rejab menyucikan badan, Sya’aban menyucikan hati manakala Ramadhan menyucikan roh.

5.Rejab adalah bulan maghfirah (keampunan), Sya’aban bulan syafaat manakala Ramadhan bulan menggandakan kebajikan.

6.Rejab adalah bulan taubat, Sya’aban bulan muhibbah manakala Ramadhan bulan dilimpahi pahala amalan yang banyak.

7.Pahala amalan baik di dalam bulan Rejab diganda 70 pahala, Sya’aban diganda 700 pahala dan Ramadhan diganda 1,000 pahala.

Rebutlah peluang yang terbentang luas ini dengan berusaha menambahkan amal kebaikan sementara masih berkesempatan. Wujudkan rasa 'tamak' untuk beramal di dunia yang sementara ini sebagai bekalan menghadapi kehidupan di sana. Moga amalan kita diterima oleh Allah SWT. InsyaAllah

Tuesday, June 8, 2010

Semakin usia meningkat, amalan juga mesti semakin ligat!


Umur adalah nikmat di antara nikmat yang besar yang dikurniakan Allah swt kepada manusia. Dengan nikmat umur ini memberi kesempatan untuk kita menikmati perkembangan dunia dan dapat pula beramal dan berbakti kepada agama, bangsa dan negara. Apa yang menjadi persoalan kita ialah bagaimana manusia memanfaatkan usia yang masih berbaki ini. Hakikatnya, menurut pandangan Islam, usia sebagai suatu saham kerana manusia akan memperolehi samada kebaikan atau keburukan di akhir kehidupan nanti yakni di alam mahsyar berpandukan kepada usia yang digunakan.

Menurut sebuah hadith Rasulullah saw:-
Maksudnya: Daripada Abi Bakrah daripada bapanya, sesungguhnya seorang lelaki telah bertanya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, katanya: Wahai Rasulullah manusia bagaimanakah yang baik sifatnya? Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, siapa yang panjang umurnya dan baik amalannya. Lelaki itu bertanya lagi: Manusia bagaimanakah yang buruk sifatnya? Sabda Baginda: Siapa yang panjang umurnya dan buruk amalannya. (Riwayat Imam Ahmad).

Dalam hadith ini menjelaskan kepada kita bahawa umur itu hendaklah digunakan dengan sebaik-baiknya kerana jika kita tidak bersyukur kepada Allah Subhanahu Wataala, maka kita tidak akan melihat usia kita sebagai amanah Allah swt, sebaliknya mengambil kesempatan melakukan apa sahaja untuk memenuhi tuntutan hawa nafsu tetapi bagi kita yang sedar bahawa usia itu amanah Allah saw, maka kita akan memberikan tumpuan ke arah jalan yang baik dan beramal soleh maka di sini bermakna kitalah yang menentukan buruk baik amalan dalam meniti usia kita.

Memandangkan betapa berharganya usia itu kepada manusia, maka itulah sebabnya agama Islam sangat menitik beratnya supaya manusia memahami dan mengetahui yang usia itu adalah amanah daripada Allah Subhanahu Wataala.

Suatu hadith lain menjelaskan, daripada Abi Burdah Al-Aslami, Nabi Muhammad saw bersabda bahawa, "Setiap anak Adam tidak akan berganjak tapak kakinya dari kanan ke kiri, depan ke belakang sehingga Tuhan bertanya empat perkara:-
1. Tentang usia bagaimana dihabiskannya.
2. Tentang harta dari mana dan ke mana dihabiskannya.
3. Tentang ilmu, apakah yang dimanfaatkan dengannya.
4. Waktu bertenaga, bagaimanakah dihabiskan tenaga itu."

Di dalam hadith tadi, dua perkara yang perlu kita fikirkan ialah:-

Pertama: Soal umur, kita akan disoal dan dipertanggung jawabkan mengenai usia kita bagaimanakah kita menggunakannya. Jika kita menghabiskan usia dengan perkara yang baik, maka kebaikanlah yang kita akan nikmati, sebaliknya jika kita menghabiskan usia kita dengan melakukan keburukan maka keburukanlah yang akan diterima.

Kedua: Mengenai tenaga, ini juga melibatkan usia, oleh itu selagi kita dipanjangkan usia dan masih bertenaga, maka gunakanlah tenaga itu dengan baik bagi mendapat kebaikan. Janganlah pula usia dan tenaga itu disalahgunakan bagi melakukan perkara mungkar.

Dalam hal umur ini, patutlah kita bertanya kepada diri kita, apakah kita telah menunaikan tanggungjawab kita dalam meniti usia kita yang dikurniakan Allah swt? Kita harus ingat, orang yang dipanjangkan usia, haruslah mengambil iktibar terhadap orang lain yang tidak dipanjangkan usianya. Mudah-mudahan akan dapat menyedarkan diri kita supaya akan mempertingkatkan amal ibadat kita kepada Allah swt dan sentiasa bermohon kepada Allah supaya usia kita diberkati.

Jika kita merenung usia kita yang panjang, tentunya tidak sama lagi dengan keadaan semasa kecil kita, maka ketika itulah kita akan menyedari bahawa usia itu sudah semakin singkat. Alangkah eloknya kita memperbanyakkan taubat dan mempertingkatkan amal ibadat kita kepada Allah.

Ingatlah sahabat-sahabat, bahawa Allah swt memberi peluang kepada kita untuk memanfaatkan umur ke arah kebaikan maka janganlah disia-siakan umur kita yang masih ada dan kerjakanlah segala suruhannya dan tinggalkanlah segala keburukan dan kemungkaran untuk bekalan di akhirat kelak, mudah-mudahan kita tergolong daripada orang-orang yang beroleh kemenangan dan mendapat keredhaan Allah di akhirat nanti. Mungkin ketika kita masih luar dari kepompong pengetahuan agama yang sebenar, kita tidak melakukan amalan yang baik, jadi alangkah indahnya umur yang masih ada itu digunakan untuk mendapatkan semula kebaikan yang tidak diperolehi ketika itu.

Hal ini telah pun digambarkan oleh Rasulullah saw di dalam sebuah hadith baginda yang diriwayatkan oleh Imam Al-Hakim dan Imam Al-Baihaqi daripada Ibnu Abbas yang bermaksud:
"Pergunakanlah lima kesempatan sebelum datangnya lima kesempitan: Pergunakanlah kesempatan sihatmu sebelum datang sakitmu. Pergunakanlah kesempatan lapang mu sebelum datang masa sibuk mu. Pergunakanlah hari mudamu sebelum datang hari tuamu. Pergunakanlah kesempatan waktu engkau kaya sebelum datang kemiskinanmu. Pergunakanlah kesempatan masa hidupmu sebelum datang saat kematianmu."

Juga firman Allah swt dalam Surah Al-Baqarah, ayat 281:-
Maksudnya: “Dan peliharalah diri mu dari azab yang terjadi pada hari yang kamu semua dikembalikan kepada Allah, kemudian masing-masing diri diberi balasan yang sempurna terhadap apa yang telah dikerjakan, sedang mereka sedikit pun tidak dianiaya.”

~Manfaatkanlah baki usia yang masih ada~

Friday, June 4, 2010

Sekitar Demonstrasi Anti-Israel

Bismillahirrahanirrahim...

Subhanallah... Teruja melihat ribuan malahan jutaan manusia turun padang menunjukkan 'ketidakpuashatian' mereka terhadap Israel. Perhimpunan yang mengumpulkan lautan manusia seakan-akan satu gelombang semangat tanpa mengira warna kulit, agama, usia mahupun juga fahaman parti politik. Bukan sahaja di Malaysia gelombang ini berlaku, malah di seluruh dunia. 

Cerita berikutnya, cukuplah dengan saya membiarkan gambar-gambar berbicara...













Untuk gambaran yang lebih jelas, sila klik di sini.

Sebagai muslim yang dipertanggungjawabkan di atas muka bumi Allah ini, marilah sama-samalah kita mendoakan keselamatan aktivis-aktivis/sukarelawan, pembebasan semula Palestin dan kehancuran Israel laknatullah.  


Tuesday, June 1, 2010

Mujahid Palestin

Ke hadapan sahabatku Taufiq,

Sudah dua malam aku berjaga, entah mengapa selaput mata ini tidak mahu melabuhkan lapisnya membiarkan aku enak dibuai mimpi lantas melupakan semua denyut permasalahan yang melanda pemikiranku yang kian hari kurasakan kian berat membebankan.Kelmarin selepas solat Maghrib berjemaah, Luqman sibuk melakar-lakar pos tentera Israel yang berhampiran. Mereka tempoh hari menahan Abdul Kadeer, atas alasan menyimpan senjata berbahaya. Entah apa yang mereka ketemukan, langsung aku tidak ketahui.

Sungguh kami punya senjata, namun bukan di bawah jagaan Abdul Kadeer. Israel, membuta selalu. Abdul Kadeer hanya seorang lelaki yang tua dan tempang, justeru kami tidak lagi membebankan beliau dengan apa-apa jua tugas. Kasihan anaknya Hafiz, menjerit-jerit melihat bapanya ditarik kasar. Kami tekun mengamati pelan lukisan Luqman. Rajin mendengar arahannya. Aku tahu peluang untuk menang memang tipis, kami tidak punya senjata secanggih tentera Israel, bilangan kami juga lebih kecil.

Aku senyum. Sering timbul tentangan di antara kami dulu, Lutfi contohnya. Kenapa mahu teruskan perjuangan jika terang-terangan kita kecil dan lemah? Namun jawapan itu dia ketemukan sendiri saat abangnya dibunuh seorang tentera yang meronda. Haruskah aku ingatkan bahawa jika bukan kami yang membela nasib saudara-mara kami di sini, lantas siapa lagikah yang akan bangun memenangkan kami? Tidak timbul lagi soal kenapa membalas serangan, yang penting dalam qalbu masing-masing sudah dipasakkan niat, yang mudah-mudahan ikhlas kerana Tuhan. Bukan kemenangan yang diidamkan, tapi semangat itu yang harus sentiasa dijulang. Sekurang-kurangnya kami menegakkan apa yang sepatutnya berdiri di sini. Kami lemah dan kecil, mungkin. Tapi itu bukan kayu pengukur. Kisah Omar Mukhtar selalu kami jadikan pembakar semangat. Biar syahid di tali gantung namun Italy sudah tentu tidak akan melupakan insan gagah yang selama 20 tahun tidak berputus asa membebaskan Libya daripada penjajah.

Esok dengan izin Tuhan, akan kami ke sana. Dan sudah tentu aku perlu kepada tidur yang cukup. Namun entahlah, degil sungguh lena daripada menjemputku. Lantas kuambil pena dan tinta, mencoretkan sesuatu agar jika satu masa nanti aku telah tiada, sekurang-kurangnya ada secebis hati (kau!) yang masih mengingatiku. Segala-galanya milikku tidak kekal lama, hanya kuharapkan persahabatan kita mekar, lebih kekal daripada semuanya di bumi kelahiranku ini. Serasa terlalu penat aku mendiami perasaan yang sukar dirungkaikan dengan kata-kata.

Benarkah Taufiq?
A goat would be slaughtered only if it chooses to?
Benarkah?

Kata-kata itu aku pinjam dari seseorang yang tidak aku kenali, saat kau terjatuhkan bingkisan surat khabar yang kau bawa dari Malaysia. Salah satu komen pembacamu. Aku bertanyakan maksudnya daripadamu, dan patutlah engkau sendiri serba-salah mahu menterjemahnya.

Saban malam biar sudah bertahun lamanya aku masih terdengar-dengar tangisan Khalilah adikku yang ketika itu berusia enam tahun tatkala melihatkan ibuku ditembak oleh anjing bertopengkan wajah manusia tanpa sedikitpun rasa kasihan. Aku masih ingat aku sendiri menggigil-gigil ketakutan di bawah alas tidur melihatkan percikan darah abangku Jamil saat tempurung kepalanya bersepai dilawati peluru mesin syaitan itu. Hatiku luluh melihat bapaku dipijak-pijak oleh anjing-anjing kerahan iblis itu. 21 Ogos 1969 lelaki itu begitu gah sekali menyelamatkan Masjid Al-Aqsa saat bangunan itu dijilat api dibakar Zionis. Namun malam itu maruahnya diletakkan di bawah tapak but yang menggerunkan. Taufiq, aku kira kau takkan mengerti apa yang aku rasa saat itu. Bayangkan saat menjadi pelarian di Beirut jauh dari rumahmu yang sudah hancur ranap, tiba-tiba setiap orang bertempiaran, menjerit-jerit digempur oleh bunyi yang maha kuat lalu keluar segerombolan jembalang berpakaian tentera dengan mesin pembunuh yang memuntahkan butir-butir yang berdesing memburu manusia-manusia yang tidak mengerti mengapa harus nyawa mereka direntap.

Aku kira usia 17 padamu Taufiq, kau sibuk menguruskan pendidikanmu. Sekolah dan peperiksaan, keluarga dan teman-teman, percutian dan hobi masa lapang. Aku tidak salahkanmu Taufiq, jauh sekali daripada mencemburuimu. Aku sekadar berkongsi cerita. Kita sama-sama makhluk Tuhan, dan masing-masing diuji dengan cara-Nya yang tersendiri. 16 September 1982, dua minggu sebelum ulang tahun kelahiranku yang ke 17, dan dua hari berikutnya, seramai 3500 umat Islam Palestin disembelih, diperkosa, diseksa tentera Kristian Lebanon dari Tel Aviv, dihantar khas oleh Yahudi Laknatullah, kononnya usaha untuk menyahkan “militan” Palestinian Liberation Organization. Entah dari mana Israel mendapat idea gila bahawa mereka layak membenarkan tindakan itu lantas menarik beribu-ribu nyawa umat Muhammad. Seluruh ahli keluargaku terkorban dalam peristiwa itu. Aku kira Khalilah sendiri belum pandai mengeja untuk menjadi ahli PLO. Ah, aku menjadi putus harap.

Aku tak fikir rakyat dunia hari ini punya sensitiviti untuk mendengar ceritaku. Cukup kau sahaja yang menjadi temanku Taufiq. Mendengar kisahku. Umat dunia hari ini lebih bersedih dengan kejadian World Trade Centre, menutup langsung kisah Sabra dan Shatila. Aku hanya rakyat Palestin. Bukan kelahiran Amerika. Bukan warga negara maju. Lalu kisahku tidak diambil peduli. Begitu kejap kisah WTC menjengah, Amerika menuding jari menuduh warga Afghanistan menjadi dalangnya. Begitu pantas pula bumi itu disapa oleh ramahnya bala tentera Amerika.

Kegilaan apakah ini?
Atau akukah yang sesat hidup di alam kebinatangan?
Pernah kaunyatakan padaku yang kaubenci melihat umatmu yang masih tidur. Jika aku di sini mahu menyelamatkan saudara-maraku secara fizikal, kau pula buntu bagaimana mahu menyelamatkan paradigma saudara-maramu daripada dijajah oleh cacing-cacing yang memamah kewarasan fikiran dan kekejatan iman. Kau mual dengan minda umat di bumi kelahiranmu. Sibuk dengan fesyen dan muzik (ah, aku sendiri tidak berselera untuk memikirkan perkara seremeh itu), mengikut-ikut rentak dunia terkini. Menjadikan Barat sebagai contoh tanpa sedar merekalah pembunuh benih-benih mujahid agama. Dari sekecil-kecil anak sehingga ke pakcik tua. Budaya Yahudi ditanam kukuh dalam kehidupan. Anak-anak diajar dengan tatasusila Inggeris kesemuanya, silibus agama dicarik-carik sehingga tinggal cebisan tulang, sekadar senipis selaput membran sel. Dilekakan dengan hedonisme. Terus mengikut sistem perdagangan yang ditinggalkan penjajah Inggeris, lantas membenarkan mereka menguasai ekonomi tanpa sebarang perubahan. Dan mereka menyeringai sinis menyaksikan kebebalan umat. Mendewa-dewakan sistem pemerintahan mereka. Mengamalkan sifat-sifat busuk mereka. Kau marah dan kau ingin bangun tapi kau tidak tahu caranya selain media yang kau pegang dan doa yang kautitipkan. Oh Taufiq, kau memang mulia (senyum).

Aku ingin menangis, tapi aku tidak mampu. Menangis tidak akan merubah apa-apa. Menangis tidak akan membuatkan semua umat Islam bersatu dan mengikat perjanjian memeterai keselamatan dan hak setiap nyawa Muslim di atas muka bumi. Menangis sekali-kali tidak akan menegakkan Khilafah Islamiyyah. Dan jika sekalipun aku menangis, tiada siapa yang sudi mendengarnya. Aku tidak tahu ke mana semua manusia yang diangkat menjadi pemimpin itu pergi. Mungkinkah gempa letupan di Palestin tidak terdengar ke negara-negara lain, lantas mereka meneruskan mimpi yang hanya seketika?

Dan buat kesekian kalinya aku sendiri tidak tahu apakah tindakanku untuk menyusup di bawah gelimpangan mayat malam berdarah itu, benar atau sebaliknya. Aku sepatutnya biarkan sahaja diriku mati hari itu, bukankah itu yang sewajarnya? Daripada melihat serangan berpanjangan Yahudi - Zionis terhadap Masjid Suci itu walaupun selepas Perjanjian Oslo pada 1993. Daripada menderita melihat kebejatan ihsan umat dunia. Kadang-kadang aku terfikir Taufiq, adakah cuma rakyat Palestin seperti kami sebenarnya yang mengetahui kepentingan Masjid Al-Aqsa? Ah, itu bukanlah soalan yang betul. Adakah cuma rakyat Palestin seperti kami yang beriya-iya mempertahankan Islam? Adakah negara-negara Arab yang lain, lebih tepat lagi, negara-negara Islam yang lain, gerun menghadapi Israel dan Amerika? Oh, mungkin Iraq juga mempertahankan Islam, lalu terus dengan kadar segera dibunuh bandar dan rakyatnya. Dan negara-negara lain terus menafikan kaitan mereka dengan Islam, agar terpelihara negeri dan makmur penduduknya. Oh... Kasihannya rakyat bumiku tak terbela...

Marah?
Gilalah aku kiranya tidak punya perasaan marah. Aku tidak minta supaya kau datang ke mari lagi Taufiq, tidak langsung aku minta kau datang ke mari meninggalkan rumahmu dan keluargamu dan negaramu yang aman damai lantas menemaniku di sini yang selalu diselubungi perasaan takut. Menemaniku bererti kau harus selalu menghitung berapa temankah yang syahid hari ini. Berkira-kira berapa lama lagi yang ada sebelum dijemput Malaikat Maut. Menenangkan diri tika hati berdegup kencang terlihatkan manusia bersenjata. Membilang hari-hari berlalu dengan rasa kesyukuran dalam setiap nafas yang disedut. Sekurang-kurangnya dengan setiap deru nafas itu Israel tahu kami masih tidak mengalah. Yahudi tahu bahawa janji Tuhan akan tiba. Melihat Amerika tidur terus-terusan dalam istidraj. Biar. Aku yakin Taufiq, Tuhan Maha Adil.

Dunia melihat aduan terhadap Ariel Sharon difailkan di mahkamah antara bangsa untuk jenayah perang (Belgian Courts for war crime), tapi dengan selamatnya dia berjaya meloloskan diri. Heh, dan aku kira Slobodan Milosevic mungkin berasa jaki terhadap Sharon. Oh, subhanallah. Besar hikmahnya aku hidup selepas Sabra dan Shatila Taufiq. Biarpun aku terpaksa menyaksikan Sharon digelar oleh anjing saudaranya Bush sebagai “A Man of Peace”, paling kurang dari Lebanon aku nekad kembali ke Palestin menjadi ahli Hamas pada 1987. Bangga aku dinobatkan sebagai Atfal Hijarah, sedang katamu kawan-kawanmu sudah cukup berpuas hati bergelar umat Islam tanpa sedikitpun berjuang. Fahamkah dunia betapa perit apa yang kami rasa? Memerangi Zionis dengan hatta batu. Harga yang harus dibayar kerana bergelar Muslim penduduk bumi suci. Namun aku cukup berbesar hati Taufiq, biar langsai nyawaku, agama ini agamaku, tanah ini tanahku. Usia 20-anmu kau sibuk merakam takziah buat agama, melihat umat yang lemah tak bersemangat dalam perjuangan berdakwah. Usia 20-anku pada 1989 aku mengucap syukur menyaksikan semangat sahabat-sahabatku yang dipenjarakan. Turut melaungkan takbir saat masa merakam peristiwa di Bir Nabala. Kau barangkali bungkam tatkala sahabat-sahabatmu tidak hadir ke usrah, tapi aku bungkam, lagi dan lagi saat Sheikh Ahmad Yassin dan Abdul Aziz Rantisi dibalun haiwan.

Adakah ibuku seekor kambing yang dipilih untuk disembelih Taufiq? Adakah abangku dan bapaku dan adikku dan aku dan jiran-jiranku dan saudara-maraku semuanya tidak lebih daripada kambing-kambing yang diminta untuk disembelih? Mana dunia saat kami ditindan bencana? Mungkinkah kalian akan terus lena sehingga sampainya satu saat di mana rumah kalian dihenyak dan maruah kalian dicalari? Tidak Taufiq, aku tidak mendoakan sesuatu yang buruk untuk kalian. Tidak pernah dan tidak akan. Cuma terlalu banyak harapan yang aku gantungkan. Kalian punya peluang yang tidak kami punyai. Kalian punya suara, kami cuma punya air mata yang tidak diendahkan. Kalian punya pendidikan, punya kuasa (yang kalian tidak pernah gunakan), kami cuma punya permintaan, demi permintaan.

Penat?
Sudah aku nyatakan awal-awal, aku penat mendiami perasaan ini. Saban hari tugas tidak menentu. Mempertaruhkan nyawa. Bukan aku penat dengan tanggungjawab ini Taufiq, cuma aku penat dengan kekesalan, penat melihat kejatuhan umat. Aku sedih melihat kanak-kanak membesar tanpa persekitaran yang mendamaikan. Hafiz mungkin masih terlalu kecil untuk memahami, tapi Aminah yang berusia tujuh tahun itu begitu kejal jiwanya pada pandanganku. Semalam aku lihat dia memberi cebisan rotinya untuk Ruqayyah adik kecilnya sedang dia sendiri menelan liur melihat makanan itu dikunyah rakus. Salman, anak bongsu Luqman yang berusia 12 tahun begitu berhati-hati tidak membenarkan Aminah dan kanak-kanak perempuan lain keluar bermain tanpa pengawasannya. Pernah aku dengar kata-kata Salman;
“Kalian kaum perempuan, duduk di rumah. Jika ada apa-apa berlaku terhadap kalian, akulah yang kelak rasa paling bersalah,” oh! Sungguhkah Salman masih anak-anak?

Sungguh aku tidak mengimpikan tertegaknya Khilafah Islamiyyah saat aku masih hidup, kerana aku sendiri tidak mampu berjanji untuk terus bernafas pagi esok. Aku tidak minta untuk kerajaan kafir terus tersungkur esok, tapi usaha akan terus aku panjangkan, sungguh, dengan izin Tuhan, hatta dengan batu. Aku akan teruskan perjuangan yang sedia ada ini, walaupun aku tidak nampak kelibat kejayaan menghampiri. Aku berjuang bukan untuk menang Taufiq, aku berjuang kerana Tuhan. Aku tidak melawan untuk hidup Taufiq, tapi aku berperang untuk mati. Jika kalah, aku yakin ada perhitungan yang lebih baik untukku kemudian. Memang aku kasihkan keluargaku, teman-temanku dan segala-galanya di bumi Palestin ini, tapi aku yakin Tuhan tidak akan membiarkan kami terus-terusan bersedih.

Taufiq, harus aku carikkan noktah di sini. Aku perlu lekas berangkat, punya hal yang harus diselongkar. Terima kasih sahabat, atas lawatanmu tempoh hari. Surat ini akan kuserahkan kepada ahli bantuan dari negaramu, sampai dengan selamat hendaknya kepadamu. Mudah-mudahan Tuhan akan mengurniakan kita keimanan dan kekuatan yang bertambah mantap sehingga saat kita bertemu-Nya. Mudah-mudahan azan akan terus berkumandang di seluruh ceruk dunia. Mudah-mudahan kita terus bersyukur dengan nikmat Iman. Dan sentiasa kita dalam rahmat-Nya.

Sekiranya aku mati, Taufiq, engkaulah yang kuharapkan menggalas amanah menongkah kesedaran.

Salam juang,
Umar

*sumber: iluvislam.com

Friday, May 21, 2010

Pesan Rasulullah kepada Wanita....

1) Dunia ini ialah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita (isteri) yang solehah. (Riwayat Muslim).

2) Mana-mana perempuan yang memakai bau-bauan kemudian ia keluar melintasi kaum lelaki ajnabi, agar mereka mencium bau harumnya maka ia adalah perempuan zina,dan tiap-tiap mata yang memandang itu adalah zina. (Riwayat Ahmad, Thabarani dan Hakim)

3) Dikahwini wanita itu kerana empat perkara: kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya, maka carilah yang kuat beragama nescaya kamu beruntung.

4) Wanita apabila ia sembahyang lima waktu, puasa sebulan Ramadhan, memelihara kehormatan serta taat pada suami, maka masuklah mana-mana pintu syurga yang ia kehendaki. (Riwayat dari Ahmad Ibnu Hibban, Thabarani, Anas bin Malik).

5) Perempuan yang melabuhkan pakaian dalam keadaaan berhias bukan untuk suaminya dan muhrimnya adalah seumpama gelap gelita di hari kiamat, tiada nur baginya. (Riwayat Tarmizi)

6) Apabila lari seorang wanita dari rumah suaminya, tidak diterima sembahyangnya, sehingga ia kembali dan menghulurkan tangan kepada suaminya (meminta maaf). (Riwayat dari Hassan).

7) Wanita yang taat pada suami, semua burung-burung di udara, ikan diair, malaikat di langit, matahari dan bulan semuanya beristigfar baginya selama ia masih taat pada suaminya dan diredainya (serta menjaga sembahyang dan puasanya).

8) Dari Muaz bin Jabal bersabda Rasululllah SAW: Mana-mana wanita yang berdiri di atas kakinya membakar roti untuk suaminya hingga muka dan tangannya kepanasan oleh api, maka diharamkan muka dan tangannya dari bakaran api neraka.

9) Tiap-tiap wanita yang menolong suaminya di dalam urusan agama, maka Allah memasukkanya dalam syurga lebih dahulu dari suaminya (sepuluh ribu tahun) kerana dia memuliakan suaminya di dunia maka mendapat pakaian dan bau-bauan syurga untuk turun ke mahligai suaminya dan mengadapnya.

10) Ya Fatimah, jika seorang wanita meminyakkan rambut suaminya dan janggutnya dan memotong kumisnya dan mengerat kukunya, diberi minum Allah akan dia sungai syurga, diiringi Allah baginya sakaratul maut dan akan didapati kuburnya menjadi sebuah taman dari taman-taman syurga serta dicatatkan Allah baginya kelepasan dari neraka dan selamatlah ia melintasi titian Siratul-mustaqim.

11) Mana-mana wanita yang berkata kepada suaminya "tidak pernah aku dapat dari engkau satu kebajikan pun". Maka Allah akan hapuskan amalannya selama 70 tahun, walaupun ia berpuasa siang hari dan beribadah pada malamnya.

12) Apabila wanita mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya, Allah mencatatkan baginya setiap hari seribu kebajikan dan menghapus baginya seribu kejahatan.

13) Apabila wanita mulai sakit untuk bersalin, Allah mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah (perang sabil).

14) Apabila wanita melahirkan anak keluarlah dosa-dosa darinya seperti keadaan ibunya melahirkannya.

Sunday, May 16, 2010

Sudah selesaikah amanah disana?


Belum selesai peperiksaan akhir di kampus, satu taklifan besar telah menimpa bahu. Walaupun taklifan ini dianggap kecil di mata sesetengah pihak, tapi bagi aku ini masih ‘AMANAH’ besar dan amanah ini mesti dilaksanakan sebagai salah satu misi menyambung rantai perjuangan dakwah Rasulullah di bumi ‘taman ilmu’ itu.

Rasullulah s.a.w. bersabda :
“Setiap kamu adalah pemimpin, dan kamu bertanggungjawab ke atas pimpinan kamu” .

Ya, semestinya aku mesti melaksanakan amanah ini sebaik mungkin. Tetapi, terkadang terlintas di hati, aku berasa takut, bukan takut kerana manusia, tetapi takut akan dosa-dosa silam menyebabkan Allah menghalang kelancaran ‘misi’ ini.

Semasa misi ini baru melangkah untuk berlari, terdengar sayup-sayup suara sahabat-sahabat tentang kepayahan melakukan misi ini disebabkan beberapa kekangan. Terkenang akan kata-kata Sayyid Qutb dalam surat terakhir beliau kepada adiknya, beliau telah menulis sebelum beliau digantung, “Kita selalu akan merasa sempit dada jika kita merasakan kitalah yang memulakan dan mengakhiri perjuangan ini, tetapi kesempitan ini tidak akan terasa jika kita merasai bahawa kita menyambung perjuangan yang lalu dan akan diteruskan oleh generasi yang akan datang”. Ingat sahabat-sahabat, pastinya kita akan berasa sukar jika kita meletakkan kita adalah pemula perjuangan ini, sedangkan kita adalah mata-mata rantai yang menyambung perjuangan ini.

Di ‘taman ilmu’ itulah aku mula kenal erti dakwah yang sebenar bersama-sama sahabat yang lain. Jika dulu, aku dicari untuk menjadi sebahagian rantai-rantai perjuangan ini, tetapi kini, giliran aku dan sahabat-sahabat seperjuangan mencari bakal pewaris tugasan Rasulullah ini.

Allah s.w.t. berfirman :
“Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada makruf dan mencegah kemungkaran. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung” (Ali-Imran:104)

Jika disebut tentang mehnah dan tribulasi, sudah tentunya dalam setiap gerak kerja ini mempunyai kesulitannya tersendiri. Tetapi, bila kita meletakkan keimanan yang benar sebagai tunjang, menjadikan perjalanan gerak kerja umpama sebuah kisah cinta, pengorbanan menukarkan ujian pahit menjadi satu kenangan manis, kesabaran menjadikan segala beban yang ditanggung ringan dan mudah, keyakinan pada janji-janji Allah menjadikan jiwa tenang ketika perjalanan begitu sukar, kerinduan kepadaNya menjadi pembakar semangat setiap kali berdepan dengan kegagalan dan ujian berat. 

Firman Allah s.w.t. dalam Al-Quran Karim :
“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, Kami telah beriman sedangkan mereka tidak diuji” (Al-Ankabut:2)

Apabila segalanya hampir selesai pada waktu yang ditetapkan, ternyata segala keperitan yang dihadapi sepanjang minggu tersebut menjadi satu kenangan terindah, apabila adik-adik bakal pewaris rantai-rantai perjuangan ini berada di hadapan mata. Melihat wajah-wajah mereka, aku pasti merekalah yang akan meninggikan lagi ke`izahan Islam di ‘taman ilmu’ itu. Walaupun misi pencarian mereka telah berlalu, tetapi proses pembentukan para da`ie ini tidak terhenti setakat ini sahaja. Masih jauh perjalanan yang perlu ditempuhi, disamping proses pentarbiyahan yang panjang sebagai bekalan mematangkan diri untuk menjadi pewaris tugas Rasululluh.