Friday, May 21, 2010

Pesan Rasulullah kepada Wanita....

1) Dunia ini ialah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita (isteri) yang solehah. (Riwayat Muslim).

2) Mana-mana perempuan yang memakai bau-bauan kemudian ia keluar melintasi kaum lelaki ajnabi, agar mereka mencium bau harumnya maka ia adalah perempuan zina,dan tiap-tiap mata yang memandang itu adalah zina. (Riwayat Ahmad, Thabarani dan Hakim)

3) Dikahwini wanita itu kerana empat perkara: kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya, maka carilah yang kuat beragama nescaya kamu beruntung.

4) Wanita apabila ia sembahyang lima waktu, puasa sebulan Ramadhan, memelihara kehormatan serta taat pada suami, maka masuklah mana-mana pintu syurga yang ia kehendaki. (Riwayat dari Ahmad Ibnu Hibban, Thabarani, Anas bin Malik).

5) Perempuan yang melabuhkan pakaian dalam keadaaan berhias bukan untuk suaminya dan muhrimnya adalah seumpama gelap gelita di hari kiamat, tiada nur baginya. (Riwayat Tarmizi)

6) Apabila lari seorang wanita dari rumah suaminya, tidak diterima sembahyangnya, sehingga ia kembali dan menghulurkan tangan kepada suaminya (meminta maaf). (Riwayat dari Hassan).

7) Wanita yang taat pada suami, semua burung-burung di udara, ikan diair, malaikat di langit, matahari dan bulan semuanya beristigfar baginya selama ia masih taat pada suaminya dan diredainya (serta menjaga sembahyang dan puasanya).

8) Dari Muaz bin Jabal bersabda Rasululllah SAW: Mana-mana wanita yang berdiri di atas kakinya membakar roti untuk suaminya hingga muka dan tangannya kepanasan oleh api, maka diharamkan muka dan tangannya dari bakaran api neraka.

9) Tiap-tiap wanita yang menolong suaminya di dalam urusan agama, maka Allah memasukkanya dalam syurga lebih dahulu dari suaminya (sepuluh ribu tahun) kerana dia memuliakan suaminya di dunia maka mendapat pakaian dan bau-bauan syurga untuk turun ke mahligai suaminya dan mengadapnya.

10) Ya Fatimah, jika seorang wanita meminyakkan rambut suaminya dan janggutnya dan memotong kumisnya dan mengerat kukunya, diberi minum Allah akan dia sungai syurga, diiringi Allah baginya sakaratul maut dan akan didapati kuburnya menjadi sebuah taman dari taman-taman syurga serta dicatatkan Allah baginya kelepasan dari neraka dan selamatlah ia melintasi titian Siratul-mustaqim.

11) Mana-mana wanita yang berkata kepada suaminya "tidak pernah aku dapat dari engkau satu kebajikan pun". Maka Allah akan hapuskan amalannya selama 70 tahun, walaupun ia berpuasa siang hari dan beribadah pada malamnya.

12) Apabila wanita mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya, Allah mencatatkan baginya setiap hari seribu kebajikan dan menghapus baginya seribu kejahatan.

13) Apabila wanita mulai sakit untuk bersalin, Allah mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah (perang sabil).

14) Apabila wanita melahirkan anak keluarlah dosa-dosa darinya seperti keadaan ibunya melahirkannya.

Sunday, May 16, 2010

Sudah selesaikah amanah disana?


Belum selesai peperiksaan akhir di kampus, satu taklifan besar telah menimpa bahu. Walaupun taklifan ini dianggap kecil di mata sesetengah pihak, tapi bagi aku ini masih ‘AMANAH’ besar dan amanah ini mesti dilaksanakan sebagai salah satu misi menyambung rantai perjuangan dakwah Rasulullah di bumi ‘taman ilmu’ itu.

Rasullulah s.a.w. bersabda :
“Setiap kamu adalah pemimpin, dan kamu bertanggungjawab ke atas pimpinan kamu” .

Ya, semestinya aku mesti melaksanakan amanah ini sebaik mungkin. Tetapi, terkadang terlintas di hati, aku berasa takut, bukan takut kerana manusia, tetapi takut akan dosa-dosa silam menyebabkan Allah menghalang kelancaran ‘misi’ ini.

Semasa misi ini baru melangkah untuk berlari, terdengar sayup-sayup suara sahabat-sahabat tentang kepayahan melakukan misi ini disebabkan beberapa kekangan. Terkenang akan kata-kata Sayyid Qutb dalam surat terakhir beliau kepada adiknya, beliau telah menulis sebelum beliau digantung, “Kita selalu akan merasa sempit dada jika kita merasakan kitalah yang memulakan dan mengakhiri perjuangan ini, tetapi kesempitan ini tidak akan terasa jika kita merasai bahawa kita menyambung perjuangan yang lalu dan akan diteruskan oleh generasi yang akan datang”. Ingat sahabat-sahabat, pastinya kita akan berasa sukar jika kita meletakkan kita adalah pemula perjuangan ini, sedangkan kita adalah mata-mata rantai yang menyambung perjuangan ini.

Di ‘taman ilmu’ itulah aku mula kenal erti dakwah yang sebenar bersama-sama sahabat yang lain. Jika dulu, aku dicari untuk menjadi sebahagian rantai-rantai perjuangan ini, tetapi kini, giliran aku dan sahabat-sahabat seperjuangan mencari bakal pewaris tugasan Rasulullah ini.

Allah s.w.t. berfirman :
“Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada makruf dan mencegah kemungkaran. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung” (Ali-Imran:104)

Jika disebut tentang mehnah dan tribulasi, sudah tentunya dalam setiap gerak kerja ini mempunyai kesulitannya tersendiri. Tetapi, bila kita meletakkan keimanan yang benar sebagai tunjang, menjadikan perjalanan gerak kerja umpama sebuah kisah cinta, pengorbanan menukarkan ujian pahit menjadi satu kenangan manis, kesabaran menjadikan segala beban yang ditanggung ringan dan mudah, keyakinan pada janji-janji Allah menjadikan jiwa tenang ketika perjalanan begitu sukar, kerinduan kepadaNya menjadi pembakar semangat setiap kali berdepan dengan kegagalan dan ujian berat. 

Firman Allah s.w.t. dalam Al-Quran Karim :
“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, Kami telah beriman sedangkan mereka tidak diuji” (Al-Ankabut:2)

Apabila segalanya hampir selesai pada waktu yang ditetapkan, ternyata segala keperitan yang dihadapi sepanjang minggu tersebut menjadi satu kenangan terindah, apabila adik-adik bakal pewaris rantai-rantai perjuangan ini berada di hadapan mata. Melihat wajah-wajah mereka, aku pasti merekalah yang akan meninggikan lagi ke`izahan Islam di ‘taman ilmu’ itu. Walaupun misi pencarian mereka telah berlalu, tetapi proses pembentukan para da`ie ini tidak terhenti setakat ini sahaja. Masih jauh perjalanan yang perlu ditempuhi, disamping proses pentarbiyahan yang panjang sebagai bekalan mematangkan diri untuk menjadi pewaris tugas Rasululluh.



Wednesday, May 5, 2010

Beri Peluang Mahasiswa Berpolitik

ENTAH apa yang ditakutkan, penyertaan mahasiswa dalam mewarnai arena politik negara dilihat sesetengah pihak tidak kena pada masanya hingga pelbagai mekanisme berbentuk kekangan dilaksanakan.

BINCANG...banyak medium boleh digunakan bagi meluahkan pendapat dan berbincang.
Sudahlah hak dan kebebasan bersuara bagai dicabuli, dilempar pula tanggapan dan sindiran sinis sehingga suara mereka seperti anjing menyalak bukit.

Hairan, Mereka diajar bersuara jika tidak puas hati tapi apabila mahu membuka mulut di gelanggang politik, mereka 'dipancung'.

Alasannya, mereka tiada keperluan terbabit dalam gelanggang itu, kurang matang, terlalu emosi dan mudah dieksploitasi pihak tertentu. Adakah wajar sedangkan pada masa sama, semua pihak mahu mahasiswa menjadi golongan kelas pertama, apatah lagi mereka adalah generasi pewaris negara? Namun, ada pihak yang peka dan memberi kepercayaan dengan alasan, mereka sudah besar, terpelajar dan tahu membezakan baik buruk. Melihat fenomena yang berlaku ini, timbul tanda tanya, di mana kedudukan mahasiswa dalam senario politik negara? Profesor politik dan kerajaan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Jayum Jawan berkata, masyarakat perlu bersikap terbuka melihat senario ini dan jangan membandingkan dengan kebangkitan mahasiswa zaman dulu.

Beliau berkata, senario politik kini sudah berubah dengan pelbagai angin pembaharuan dan jika golongan itu terus disekat, ia memberi impak lebih buruk pada masa depan.

"Masyarakat kita agak skeptikal apabila membincangkan isu politik, padahal ia satu proses pembelajaran berterusan.

"Berpolitik tidak semestinya menunjukkan tanda menentang, membantah atau bertindak ganas tapi lebih kepada menyampaikan suara hati.

"Ada pihak takut kepada bayang-bayang sendiri sehingga sanggup merampas hak golongan itu dan memperkenalkan pelbagai akta," katanya.

Dr Jayum berkata, pengenalan akta atau sekatan boleh dilakukan, namun harus dipastikan ia tidak membunuh bakat dan kepemimpinan mereka.

"Sepatutnya kita memberi galakan, memantau atau membimbing mereka. Jika ada sekatan, yang ruginya mahasiswa.

"Daripada membelenggu keinginan itu, beri peluang mereka meluahkan segalanya. Namun biarlah dengan cara betul sebagai membuktikan mereka golongan terpelajar dan terpilih," katanya.

Mengulas mengapa mahasiswa dulu suka berdemonstrasi dan bertindak agak keterlaluan, Dr Jayum berkata, mungkin kurangnya medium menyuarakan pendapat.

"Hari ini sudah banyak medium, ada Majlis Perwakilan Mahasiswa di setiap universiti dan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan tempat mereka mengadu.

"Justeru, tiada sebab mereka perlu bertindak agresif melainkan ada pihak yang mahu ambil kesempatan," katanya.

Bagaimanapun, beliau bersetuju kebebasan berpolitik itu perlu dipantau serta dibimbing supaya kepercayaan itu tidak disalah guna atau diambil kesempatan pihak yang mempunyai kepentingan.

"Mengenakan pelbagai sekatan tidak membantu tapi perkenalkan satu mekanisme berkesan sebagai tujuan keselamatan dan pencegahan.

"Kita perlu memberi mereka peluang menonjolkan kemampuan kerana bukan semua mempunyai karisma bergelar pemimpin," katanya Bekas Yang Dipertua Majlis Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mohd Anas Ali berkata, keengganan masyarakat mengiktiraf dan mempercayai mahasiswa menyebabkan golongan itu memberontak.

Menurutnya, bukan semua mahasiswa menggunakan politik bagi tujuan peribadi tetapi ia digunakan sebagai saluran mencabar kemampuan diri apabila berdepan masyarakat sebenar.

"Berdasarkan pengalaman, mahasiswa hari ini tidak mahu terkongkong kepada akademik semata-mata, malah mahu terbabit sama dalam persoalan negara dan masyarakat.

"Saya melihatnya sebagai satu kebangkitan baru dunia mahasiswa. Mereka perlukan sokongan dan kepercayaan bukan dikritik keterlaluan atau dilabel yang kurang enak," katanya.

Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my
2010/05/03

Monday, May 3, 2010

Mencari Kebahagiaan Abadi

Bismillahiramannirahim...

Kebahagiaan yang hakiki sering di dambakan makhluk Allah yang bergelar manusia. Jika dibanding dengan kejadian Tuhan yang lain-lain, manusialah sebaik-baik kejadian, kerana manusia memiliki akal untuk berfikir. Jika diperhalusi kebahagiaan melalui kaca mata Al-Quran, telah jelas mencatatkan kebahagiaan hakiki yang diimpikan setiap insan.

Dimana? Di sisi Tuhan...

Firman Allah s.w.t. maksudnya : “Di tempat yang sungguh bahagia, di sisi Tuhan Yang Maha Menguasai segala-galanya, lagi Yang Berkuasa melakukan Sekehendaknya.” (Surah al-Qamar:55)

Bagaimana? Dengan mengutamakan akhirat...

Firman Allah s.w.t. maksudnya : “Mereka itulah orang-orang yang membeli (mengutamakan) kehidupan dunia (dan kesenangan) dengan (meninggalkan perintah-periantah Allah yang membawa kebahagiaan dalam kehidupan) akhirat; maka tidak akan diringankan azab seksa mereka (pada hari kiamat) dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan.” (Surah al-Baqarah:89)


Dengan sabar dan taqwa

Firman Allah s.w.t. maksudnya : “Oleh itu bersabarlah sesungguhnya kesudahan yang baik (yang membawa kejayaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat) adalah orang-orang yang bertaqwa.” (Surah Hud:49)

Untuk siapa? Yang beriman dan beramal soleh...

Firman Allah s.w.t. maksudnya : “Orang yang beriman dan beramal soleh, beroleh kebahagiaan yang amat menggembirakan dan tempat kembali yang sebaik-baiknya.” (Surah al-Ra’d:29)

Yang beroleh hidayah...

Firman Allah s.w.t. maksudnya : “Dan sesiapa yang diberikan hidayah petunjuk oleh Allah maka dialah yang sebenar-benarnya berjaya mencapai kebahagiaan.” (Surah al-Ishak:97)

Sama-sama kita renungkan, adakah kebahagiaan yang kita peroleh sekarang ini adalah kebahagiaan abadi dan sama-samalah kita berusaha mencapai kebahagian tersebut.